Lebih 1,200 hadir, 438 ditawar kerja di Perlis

Karnival MYFutureJobs Perlis 2025

- Advertisement -

- Advertisement -

KANGAR: Seramai 438 pemohon berjaya ditawarkan pekerjaan dalam sesi temu duga terbuka sempena Karnival Kerjaya, Pendidikan dan Keusahawanan MYFutureJobs 2025 yang berlangsung pada 21 dan 22 Jun lalu di Dewan Warisan, Kangar.

Karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis itu menyaksikan kehadiran seramai 1,266 individu dalam usaha mencari peluang pekerjaan daripada lebih 2,000 kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan memaklumkan, sebanyak lebih 25 majikan terlibat dalam sesi temu duga terbuka sepanjang dua hari penganjuran karnival.

“Daripada keseluruhan peserta, seramai 427 individu dipanggil untuk temu duga kedua, manakala 757 orang tidak berjaya dalam sesi temu duga yang dijalankan.

“Statistik terperinci menunjukkan pada hari pertama (21 Jun), seramai 235 peserta berjaya ditawarkan kerja, manakala 144 dipanggil ke temu duga kedua dan 374 tidak berjaya.

“Pada hari kedua (22 Jun), seramai 203 ditawarkan kerja, 283 dipanggil ke temu duga kedua dan 383 tidak berjaya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan.

Karnival ini turut diserikan dengan taklimat pendidikan tinggi, slot keusahawanan digital bersama TikTok Shop, pendaftaran portal MYFutureJobs, kaunseling kerjaya serta cabutan bertuah, sekali gus menjadikannya acara sehenti yang mesra belia dan keluarga.

Penganjuran program tersebut juga menjadi antara pengisian Sambutan Jubli Perak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai simbol komitmen negeri terhadap pembangunan modal insan dan peluang kerjaya yang inklusif. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -