
AYER KEROH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menyuarakan kebimbangan serius terhadap Projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).
Ia katanya, disifatkan sebagai projek mega yang gagal memenuhi kepentingan rakyat serta berisiko mengulangi kegagalan pembangunan ‘gajah putih’ di negeri ini.
Menurut beliau, walaupun SM-WEZ digambarkan sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri, namun tinjauan lebih teliti menunjukkan terlalu banyak persoalan berbangkit dari segi ketelusan, kesan kepada rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Dengan keluasan penambakan laut melebihi 1,100 hektar merentasi 33 kilometer garis pantai, SM-WEZ berpotensi mengubah lanskap fizikal dan sosial negeri Melaka secara menyeluruh.
“Tetapi adakah ia benar-benar satu langkah bijak yang meletakkan kesejahteraan rakyat di hadapan?” soalnya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) menunjukkan risiko banjir akibat perubahan sistem saliran, selain kesan besar terhadap hutan bakau dan biodiversiti laut termasuk penyu karah yang hampir pupus.
“Lebih mengejutkan, walaupun 40 insiden banjir direkodkan dalam radius lima kilometer dari tapak projek sejak 2014, laporan EIA gagal mencadangkan pelan mitigasi konkrit seperti kolam takungan, pengukuhan tebing atau sistem pam bersepadu.
“Adakah kerajaan negeri bersedia menanggung akibat undang-undang dan sosial sekiranya projek ini mengakibatkan malapetaka banjir dan pemusnahan habitat semula jadi secara kekal?” persoalnya.
ADUN Bemban itu turut menegaskan projek itu memberi kesan kepada kesihatan awam apabila pencemaran udara di kawasan projek (ASR1 dan ASR3) mencatatkan kadar lima hingga lapan kali ganda melebihi Piawaian Kualiti Udara Ambien Malaysia 2020 (MAAQS).
“Bahkan dengan langkah mitigasi 35 peratus, kadar pencemaran kekal tinggi. Kesannya, penduduk termasuk warga emas dan kanak-kanak bakal terdedah kepada masalah pernafasan kronik.
“Siapa yang akan bertanggungjawab jika pencemaran ini mencetuskan krisis kesihatan di peringkat komuniti?” persoalnya lagi.
Beliau juga membangkitkan nasib nelayan kecil yang dijangka mengalami kerugian tahunan lebih RM12 juta akibat gangguan habitat marin dan kenaikan kos operasi, tanpa sebarang pelan sokongan atau pemulihan ekonomi.
“Tiada peruntukan latihan, tiada peluang pekerjaan, dan paling mengecewakan, tiada libat urus yang bermakna dengan komuniti ini. Inilah contoh klasik bagaimana pembangunan berskala besar sering menindas yang kecil dan tidak bersuara,” ulasnya.
Menurut beliau, pengalaman dua projek terdahulu iaitu Melaka Gateway dan Pulau Melaka Twin City seharusnya dijadikan iktibar kerana terbengkalai dan menjejaskan keyakinan pelabur.
“Angka pelaburan RM100 bilion bagi SM-WEZ kini kelihatan tidak lebih dari retorik politik; tanpa penjelasan tentang komposisi pelaburan, sumber FDI sebenar atau jadual pelaksanaan yang boleh diteliti secara fiskal.
“Adakah kita sekali lagi sedang membina sebuah ‘gajah putih’ atas nama kemajuan?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan risiko kehilangan status Tapak Warisan Dunia UNESCO ekoran pembangunan dalam zon penampan tapak berkenaan yang menurutnya boleh menjejaskan industri pelancongan negeri.
“Jika ini berlaku, ia bukan sahaja memalukan Malaysia di pentas dunia tetapi merencatkan ekonomi pelancongan negeri yang menyumbang RM12.68 bilion semasa TMM2024 (Tahun Melawat Melaka 2024).
“Adakah keuntungan jangka pendek lebih penting daripada warisan sejarah berusia ratusan tahun?” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa projek SM-WEZ digantung sementara sehingga Penilaian Kesan Sosial (SIA) dilaksanakan dan laporan EIA disemak semula secara telus, inklusif dan bebas daripada pengaruh politik atau kepentingan korporat.
Katanya, kerajaan negeri juga perlu menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas DUN Melaka bagi menyiasat proses kelulusan projek ini secara menyeluruh, termasuk menilai implikasi sebenar ke atas komuniti yang terkesan.
“Laporan kemajuan pelaburan mestilah dibentangkan kepada umum dengan jelas; siapa pelaburnya, berapa banyak pelaburan asing berbanding tempatan, serta komposisi antara sektor swasta dan kerajaan.
“Sebarang pembangunan tidak wajar diteruskan tanpa libat urus terbuka dengan komuniti nelayan, pakar alam sekitar dan penggiat warisan budaya yang selama ini diketepikan dari meja rundingan,” ujarnya.
Beliau mencadangkan satu moratorium pembangunan digubal ke atas semua kawasan dalam zon warisan dan lokasi sensitif alam sekitar sehingga semakan semula Pelan Struktur Negeri Melaka dilaksanakan secara menyeluruh dan berpaksikan prinsip pembangunan mampan.
“Sebagai Ketua Pembangkang DUN Melaka, saya menegaskan bahawa kemajuan tidak harus datang dengan harga yang tidak tertanggung oleh rakyat dan alam sekitar.
“Keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, keadilan sosial, dan kelestarian warisan adalah asas yang wajib dijunjung dalam setiap dasar pembangunan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











