
KUALA LUMPUR: Iran mempunyai hak untuk menyerang balas ke atas negara haram Zionis Israel pada bila-bila masa sebagai tindakan mempertahankan diri, walaupun gencatan senjata antara kedua negara itu sudah dicapai.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia susulan serangan dimulakan oleh Israel ke atas Iran sebelum ini, masyarakat antarabangsa khususnya Barat dilihat tidak mengecam tindakan berkenaan.
“Justeru, Iran boleh menggunakan alasan yang sama untuk memulakan serangan ke atas negara haram Israel. Iran mengambil pertimbangan sokongan rakyat kepada kepimpinan yang ada sebagai langkah mengukuhkan politik dalaman.
“Jika perang ini berterusan, keberangkalian rakyat akan berpaling daripada kerajaan. Pendatang haram Yahudi akan menekan kerajaan Benjamin Netanyahu kerana silap pertimbangan dalam menilai kekuatan persenjataan Iran.
“Politik orang Parsi ini tinggi, politik orang buat karpet. Tekun, teliti, makan masa dan tak gopoh. Iran tunggu hingga Israel dan AS (Amerika Syarikat) serang dulu. Jadi kalau nak berunding kena ikut syarat Iran sebab kamu yang mulakan dulu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tindakan ‘all out war’ bakal membuka ruang kepada AS untuk membentuk pakatan ketenteraan bagi menghancurkan Iran, khususnya jika Iran mengambil langkah menutup Selat Hormuz yang menjadi nadi utama ekonomi dunia.
Mengulas lanjut, beliau berkata perundingan damai antara Iran dan Barat akan memberi kelebihan kepada Iran yang pastinya tidak akan mudah menerima syarat yang ditetapkan oleh AS.
“Iran akan menggunakan logik ‘kamu yang serang kami dahulu, maka jika nak berunding dengan kami kena ikut syarat kami’. Perang ini menambah lagi kebencian masyarakat antarabangsa ke atas Zionis Israel yang bertindak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
Tambah Khalil, pusingan pertama peperangan antara regim penjajah Zionis dan Iran telah menamatkan era perang proksi atau perang belakang tabir, dan pusingan seterusnya bakal menyaksikan pertempuran secara langsung.
“Perkembangan yang berlaku membuka lembaran baharu yang lebih mencabar ke atas Dunia Islam untuk bersatu menentang musuh yang satu bagi melihat bebasnya Baitulmaqdis dari cengkaman kezaliman imperialisme Barat dan Zionis Israel,” katanya.
Semalam, Iran dan Israel bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata secara berperingkat dalam tempoh 24 jam, sekali gus dijangka menamatkan konflik yang berlarutan selama 12 hari.
Proses gencatan dilaporkan bermula kira-kira 12.00 tengah hari Selasa waktu Malaysia, dengan Iran terlebih dahulu menghentikan semua operasi ketenteraan secara unilateral sebelum diikuti Israel, 12 jam kemudian. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











