
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada 26 Julai ini.
Ketuanya, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz berkata, himpunan itu dilihat sebagai manifestasi aman suara rakyat yang muak dengan kegagalan dan kehancuran yang dilakukan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Himpunan ini adalah isyarat jelas rakyat, terutamanya anak muda, bahawa Perdana Menteri kini sudah tidak layak memimpin negara. Kemelut dalaman, krisis keyakinan, kegagalan ekonomi, serta isu integriti memburukkan lagi reputasi pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kabinetnya.
“Kami konsisten bahawa himpunan ini bukan tentang siapa yang berkuasa, tetapi soal kelayakan dan kebertanggungjawaban seorang Perdana Menteri.
“Malaysia memerlukan pemimpin yang berprinsip, berwibawa dan diyakini rakyat, bukan individu yang sarat dengan isu peribadi serta kegagalan dasar,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Terdahulu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengisytiharkan Himpunan Turun Anwar sebagai satu manifestasi besar rakyat Malaysia yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, setelah 933 hari Kerajaan Madani memegang tampuk kuasa, dapat disaksikan pelbagai bentuk kegagalan yang membebankan rakyat dan mencengkam demokrasi negara.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, rakyat hari ini semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, ketidakstabilan ekonomi, dasar-dasar tidak mesra rakyat serta hilangnya hala tuju pentadbiran negara.
Mohd Zarimi berkata, Dewan Pemuda PAS Pahang berdiri bersama Pemuda PAS Malaysia bagi memastikan himpunan itu dapat berlangsung dengan aman, beradab dan bertamadun, tanpa sebarang bentuk provokasi atau kerosakan awam.
“Kami ingin buktikan bahawa rakyat boleh berhimpun secara matang menuntut perubahan. Rakyat Pahang, khususnya anak muda, wajar bangkit dan menyahut seruan perubahan ini.
“Kita bukan sekadar menentang Anwar Ibrahim, tetapi menolak budaya politik retorik dan janji palsu yang telah menghancurkan masa depan negara yang kita cintai ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











