
KUALA LUMPUR: Pemuda MIPP menggesa seluruh anak muda Malaysia untuk turut serta dalam Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini, seru Ketua Pemuda Kebangsaan MIPP, Justin Prabakaran.
Beliau berkata, himpunan itu sebagai manifestasi jelas penolakan terhadap kegagalan kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan yang semakin hari semakin hilang arah.
“Kita menyaksikan kegagalan demi kegagalan dari isu ekonomi yang terus menekan rakyat, ketidakupayaan menangani kos sara hidup, kelembapan pembangunan luar bandar, hinggalah kepada sikap acuh tak acuh terhadap suara rakyat marhaen.
“Demokrasi semakin terhakis, kritikan dibungkam dan janji reformasi tinggal slogan kosong. Himpunan ini bukan sekadar bantahan, malah ia adalah tuntutan moral dan tanggungjawab generasi muda.
“(Iaitu) untuk memastikan masa depan negara tidak terus digadaikan kepada mereka yang gagal memikul amanah,” katanya menerusi kenyataan, semalam.
Justin juga menegaskan, anak muda adalah harapan bangsa dan rakyat bukan hanya pemerhati, malah penggerak kepada gelombang perubahan.
“Jika hari ini kita berdiam diri, esok belum tentu negara ini masih milik kita. Maka, turunlah beramai-ramai, bangkitlah demi keadilan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat. Turun Anwar. Selamatkan Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengisytiharkan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai sebagai satu manifestasi besar rakyat Malaysia yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim.
Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, setelah 933 hari Kerajaan Madani memegang tampuk kuasa, dapat disaksikan pelbagai bentuk kegagalan yang membebankan rakyat dan mencengkam demokrasi negara. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











