MCA telah celik, Umno masih dibuai mimpi?

- Advertisement -

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir berpandangan MCA kini sudah menyedari realiti politik semasa, manakala Umno pula masih dibuai mimpi dalam menghadapi landskap baharu politik negara.

Beliau berkata, ketika ini, 191 bahagian MCA di seluruh negara kecuali Sarawak sedang mengadakan mesyuarat agung bahagian masing-masing menjelang perhimpunan peringkat negeri bulan depan, yang bakal disusuli perhimpunan pusat parti itu.

“MCA merupakan komponen parti Barisan Nasional (BN) selain Umno, MIC dan PBRS. MCA, Umno dan MIC merupakan sekutu politik yang membentuk Perikatan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pertama tahun 1959.

“Kemudiannya, selepas ‘Peristiwa Hitam 13 Mei 1969’, ditubuhkan Barisan Nasional (BN) menggantikan Perikatan pada tahun 1973 oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan didaftarkan pada bulan Jun 1974 untuk bertanding PRU keempat atas simbol dacing,” ujarnya dalam media sosial beliau.

Menurutnya, ketika penubuhan BN, hampir semua parti utama dalam negara termasuk PAS, GERAKAN, PPP serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak turut menyertainya.

“BN memegang tampuk kuasa di peringkat Persekutuan dari 1974 sehinggalah 2018 apabila tewas di tangan Pakatan Harapan (PH) dengan hanya memenangi 79 daripada 222 kerusi,” ulasnya.

Roslan berkata, selepas kekalahan itu ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Pengerusi BN, gabungan yang masuk pilihan raya dengan 13 parti komponen akhirnya tinggal hanya empat iaitu Umno, MCA, MIC dan PBRS selepas parti-parti lain, khususnya dari Sabah dan Sarawak, meninggalkannya.

Beliau berkata, dalam PRU 2022 prestasi BN terus merosot apabila hanya memenangi 30 kerusi atau 13.5 peratus, iaitu melalui Umno sebanyak 26 kerusi, MCA dua, MIC satu dan PBRS satu.

“Namun dengan kelicikan politik Pengerusi BN, Zahid Hamidi, mereka berjaya menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila bekerjasama dengan PH dan parti-parti Borneo bagi membentuk kerajaan perpaduan,” kupasnya.

Roslan berkata, walaupun dinamakan kerajaan perpaduan, MCA mula merasakan mereka tidak mempunyai tempat, malah akan semakin hilang pengaruh sekiranya terus kekal dalam gabungan PH-BN.

“Mereka terpaksa bersaing dengan musuh politik mereka DAP, selain PKR yang juga menang di beberapa kerusi majoriti Cina.

“MCA dinafikan jawatan dan perwakilan dalam kerajaan Persekutuan sehingga sebilangan bahagian-bahagian MCA yang telah bermesyuarat mengusulkan agar MCA meninggalkan BN dan kerajaan perpaduan ini untuk bergerak solo,” ulasnya.

Beliau berkata, sebagai parti berteraskan kaum Cina, survival MCA bergantung kepada sokongan masyarakat itu dan mereka sebelum ini bersaing dengan DAP untuk mendapatkan sokongan berkenaan.

“Kini DAP merupakan blok terbesar kerajaan perpaduan dengan memenangi 40 kerusi Parlimen. Walaupun namanya kerajaan perpaduan, mustahil DAP mahu bertolak-ansur dan memberi kerusinya kepada MCA.

“Lebih baik mereka gantikan sahaja MCA di saki-baki kerusi yang ada,” terangnya.

Roslan berkata, pimpinan dan ahli MCA kini menyedari ancaman itu dan keperluan untuk bergerak solo semakin mendesak bagi mengelakkan parti itu terhapus dalam peta politik negara.

“Apakah MCA benar akan keluar daripada BN dan kerajaan perpaduan, terpulanglah kepada ahlinya,” jelasnya.

Menurutnya, kebimbangan sama sepatutnya turut dirasai Umno yang kini hanya memiliki 26 kerusi Parlimen.

“Jika DAP ancaman buat MCA, Umno pula jangan senang-senang hati kerana kerusi Melayu yang kini dimenangi Perikatan Nasional (PN) pasti mahu disasarkan juga oleh PKR, PAN dan mungkin juga DAP yang akan mengetengahkan calon-calon Melayunya.

“Sebelum ini DAP pernah menuntut separuh daripada kerusi DUN di Melaka untuk ditandingi PH dalam PRN Melaka akan datang. Tidakkah Umno juga nanti berhadapan dengan kemelut yang sama?

“Atau Presiden Umno tidak fikirkannya langsung kerana beliau telah selamat dan kini berjawatan tinggi,” persoalnya.

Beliau menegaskan bahawa MCA telah celik, manakala Umno masih lena dibuai mimpi.

“Bangun segera sahabat,” serunya. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -