Protes bukan benci peribadi, tapi zahir kekecewaan

Isu bakar karikatur PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyertai Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 telah membakar karikatur Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) di Bandar Raya Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu dan Ahad lalu.

- Advertisement -

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Balasubramaniam Nachiappan berkata, tindakan itu perlu dilihat dari sudut yang lebih matang dan menyeluruh.

“Tindakan mahasiswa yang membakar karikatur PMX membawa mesej kritikan terhadap kegagalan kerajaan menangani isu rasuah di Sabah. Isu ini telah mencetuskan pelbagai reaksi.

“Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mencela, termasuk pemimpin politik yang melabel mahasiswa sebagai bodoh dan bacul. Namun bagi saya, tindakan ini perlu dilihat dari sudut yang lebih matang dan menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan, tadi.

N Balasubramaniam berkata, mahasiswa protes bukan bermotifkan kebencian peribadi, malah lahir daripada kekecewaan yang mendalam untuk mendepani isu amalan rasuah khususnya di Sabah.

“Suara mahasiswa adalah denyut nadi negara dan merupakan cerminan idealisme generasi muda. Mereka bukan sahaja aset intelektual negara, malah penyambung warisan perjuangan menegakkan keadilan dan integriti.

“Kita jangan lupa, sejarah juga pernah menyaksikan pemimpin-pemimpin besar melakukan aksi simbolik itu sewaktu muda. PMX sendiri pernah membakar buku Tunku Abdul Rahman ketika menjadi aktivis mahasiswa sebagai tanda protes.

“Jadi, kita tidak boleh mudah menghukum anak muda hari ini hanya kerana mereka memilih kaedah yang serupa untuk menyatakan pendirian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak bersetuju dengan sebarang bentuk protes yang melampaui batas, namun dalam kes ini, telah terbukti bahawa demonstrasi berlangsung secara aman, tiada unsur hasutan atau kekacauan fizikal.

“Maka tindakan untuk menahan mereka adalah keterlaluan dan tidak membantu memperbaiki kepercayaan rakyat kepada institusi penguatkuasaan.

“Sebaliknya, kerajaan seharusnya mengambil pendekatan lebih terbuka dengan mendengar, menilai dan jika perlu, berdialog dengan golongan mahasiswa ini,” katanya.

Tambahnya, beliau mengingatkan pihak berkenaan agar tahu membezakan antara penghinaan dan teguran kerana rakyat hari ini bukan lagi rakyat yang boleh disenyapkan dengan ugutan.

“Mereka ingin melihat tindakan, bukan sekadar slogan dan ingin melihat keadilan ditegakkan, bukan hanya kosmetik politik yang indah di mata tetapi hambar dalam pelaksanaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau tetap tidak menyokong pembakaran gambar pemimpin negara sebagai budaya politik dan amalan di Malaysia.

Namun juga tidak bersetuju dengan tindakan membungkam suara mahasiswa yang menyampaikan mesej dengan jelas dan berprinsip.

“Mahasiswa UMS telah menghantar isyarat bahawa suara Sabah tidak boleh lagi disenyapkan. Sebagai sebuah negara demokrasi yang matang, kita wajar menjawabnya dengan ruang, bukan rantai, dengan dialog, bukan tahanan.

“Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat akan sentiasa bersama dengan mana-mana suara rakyat yang memperjuangkan kebenaran, keadilan dan integriti selagi mana ia dilakukan dengan berhemah dan berlandaskan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, tular sekumpulan mahasiswa membakar karikatur menyerupai Anwar Ibrahim yang dikecam oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan menyifatkan peserta yang berbuat demikian sebagai bodoh dan kurang ajar.

Selain itu, Anwar mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar tidak mengambil tindakan terhadap pelajar itu.

Namun, tiga peserta perhimpunan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan dan polis telah membuka tiga kertas siasatan melibatkan sembilan kesalahan berkaitan perhimpunan itu. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -