
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad telah menerima serahan borang permohonan keahlian PAS daripada seorang bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar (B) Hasrul Taufek Roslan.
Hasrul Taufek atau juga lebih dikenali sebagai Master Shiro telah menyerahkan borang tersebut kepada Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai ketika hadir dalam usrah Badan Perhubungan PAS di Markaz Seksyen 18, di sini semalam.
Dalam catatan beliau, Ustaz Idris memperkenalkan Master Shiro adalah merupakan seorang bekas pegawai kanan TUDM yang berkhidmat selama 16 tahun di bawah kepakaran cawangan tadbir.
“Sepanjang perkhidmatannya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau telah menjawat pelbagai jawatan penting di peringkat markas, operasi, pangkalan, dan latihan.
“Master Shiro memegang pelbagai peranan utama termasuk sebagai pegawai operasi dan latihan, serta terlibat dalam pelbagai misi ketenteraan di dalam dan luar negara.
“Beliau memilih untuk menamatkan perkhidmatan lebih awal bagi memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan sendiri serta menggerakkan beberapa NGO di peringkat negeri dan kebangsaan,” ulasnya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, Master Shiro terkenal dengan kepakaran dalam bidang operasi khas dan risikan serta pernah menyertai beberapa misi luar negara.
“Antaranya sebagai Pegawai Staf No 3 Risik untuk pasukan MALBATT 850-3 dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Selatan Lubnan (UNIFIL).
“Pengalaman ini telah memperkukuh kemahiran kepimpinan, disiplin, serta taktikal beliau dalam menghadapi situasi berisiko tinggi dan pelbagai cabaran antarabangsa,” dedahnya.
Menurut beliau lagi, selain latar belakang ketenteraan, Master Shiro juga merupakan seorang guru silat bertauliah yang aktif memperkasakan seni mempertahankan diri tradisional Melayu.
“Beliau telah melatih ramai anak murid dari pelbagai peringkat umur, menekankan nilai jati diri, disiplin, dan semangat juang dalam setiap latihan,” ujarnya.
Katanya lagi, Master Shiro juga ialah pengasas MSGA SDN BHD, sebuah syarikat yang memfokuskan kepada penerbitan dan penulisan buku elektronik (eBook), serta melaksanakan latihan kepimpinan dan keusahawanan.
“MSGA SDN BHD turut menyediakan platform penyediaan serta penjualan eBook untuk pasaran Malaysia, Nusantara, dan juga ke peringkat antarabangsa,” tambanya.
Beliau berkata, Master Shiro diiktiraf sebagai tokoh yang berjaya menggabungkan pengalaman ketenteraan dan kepakaran seni bela diri untuk membangunkan modul latihan kepimpinan, motivasi, serta pertahanan diri di mana diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Beliau juga sering dijemput sebagai penceramah dan jurulatih untuk program pembangunan belia, keselamatan, dan kepimpinan,” terangnya lagi.
Idris turut memaklumkan bahawa antara misi luar negara yang pernah disertai oleh Master Shiro termasuk misi pengaman PBB di Lubnan (UNIFIL) serta latihan bersama pasukan tentera negara sahabat di Asia Tenggara dan Timur Tengah.
“Pengalaman luas dalam misi antarabangsa ini menjadikan beliau seorang pemimpin yang berwibawa dan dihormati dalam bidang pertahanan dan pembangunan insan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











