Dewan Muslimat kecam tindakan AS terhadap Iran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan serangan ketenteraan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.

- Advertisement -

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, ia bukan sahaja melanggar prinsip kedaulatan sesebuah negara, bahkan turut mencabuli undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.

“Serangan ke atas tiga tapak kemudahan nuklear Iran iaitu Fordo, Natanz dan Esfahan bagai menandakan perang besar-besaran yang bakal berlaku sekali gus bakal mencetuskan konflik serantau.

“Amerika Syarikat juga umpama mengesahkan penyertaannya dalam konflik tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Beliau berpandangan bahawa sebarang bentuk konflik antarabangsa sewajarnya diselesaikan melalui saluran diplomasi dan rundingan.

“Bukannya dengan serangan bersenjata yang hanya menambah penderitaan manusia serta mengancam keamanan sejagat,” katanya.

Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia sentiasa komited untuk menjadi suara yang memperjuangkan keadilan, keamanan dan membela hak umat Islam di seluruh dunia.

“Seharusnya negara-negara Islam sama-sama menyuarakan bantahan tehadap tindakan tersebut demi membela prinsip keadilan dan kedaulatan negara Islam,” katanya.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan AS telah melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear utama di Iran termasuk Fordo, Natanz dan Esfahan, dengan muatan penuh bom digugurkan ke atas Fordo.

Sebelum itu, media antarabangsa melaporkan AS telah menghantar pesawat pengebom strategik B-2 ke Pulau Guam di Lautan Pasifik.

B-2 merupakan pesawat pengebom yang mampu membawa senjata pemusnah besar seperti GBU-57 Massive Ordnance Penetrator seberat 13,000 kilogram (kg) iaitu bom yang direka untuk memusnahkan sasaran bawah tanah.

Sementara itu, pegawai kanan Houthi memberi amaran bahawa serangan udara AS ke atas tiga tapak nuklear Iran menandakan ‘permulaan perang besar-besaran’ di Asia Barat.

Jurucakap politik Houthi, Mohammed al-Bukhaiti, berkata serangan itu bukan sekadar provokasi, malah ia adalah pengisytiharan perang terhadap seluruh paksi penentangan.

“Amerika Syarikat kini secara rasmi menjadi pihak dalam konflik ini,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh saluran TV Al-Masirah.

Beliau menambah bahawa, Houthi dan sekutunya tidak akan berdiam diri dan akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman terhadap Iran yang dianggap sebagai sekutu strategik dalam perjuangan menentang ‘hegemoni Zionis-Amerika’.

Kenyataan itu turut menggesa negara-negara Arab dan Islam untuk menyatakan pendirian tegas terhadap tindakan AS, sambil memberi amaran bahawa serangan lanjut boleh mencetuskan rantai tindak balas yang tidak dapat dikawal.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi dari Iran mengenai tahap kerosakan di tapak-tapak nuklear tersebut, namun Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan terdapat kebocoran radiologi kecil di salah satu lokasi, tanpa ancaman segera kepada orang awam. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -