Institusi fatwa perlu diperkasa, elak dicabar pihak luar

- Advertisement -

SHAH ALAM: Majlis Fatwa di setiap negeri disarankan supaya menambah baik dan memastikan setiap sighah fatwa yang dikeluarkan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang memutuskan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 tidak terpakai kepada sesebuah pertubuhan atau syarikat.

“Kita pun tak terbayang bagaimana keadaan ini boleh berlaku apabila institusi fatwa ini dicabar oleh pihak yang kita sedia maklum. Kita mengharapkan supaya perkara-perkara sebegini memberikan satu ‘wake up call’.

“Kepada umat Islam semua untuk kita bersatu di atas satu kalimah syahadah, di atas satu kiblat, di atas satu agama kita yang suci untuk kita memastikan bahawasanya isu-isu ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

“Dengan syarat apabila kita adanya kesatuan di kalangan kita dan kesepaduan di kalangan kita, maka agama kita ini akan terpelihara daripada unsur-unsur yang sepertimana yang telah pun berlaku,” katanya kepada Harakahdaily usai usrah PAS Selangor, di sini semalam.

Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun lalu memutuskan fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.

Menurut mahkamah tertinggi negara itu, perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai di dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan orang-orang buatan.

SIS Forum Malaysia sebelum ini membuat rayuan dalam pertikaiannya berhubung keputusan jawatankuasa fatwa itu dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -