Alegasi terkini isu salah laku Hakim calar integriti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman menyatakan pendirian dan resolusi bahawa sudah tiba masanya masyarakat melihat secara serius keperluan untuk sama-sama mempertahan integriti dan kesucian sistem kehakiman negara.

- Advertisement -

Menurut sekretariat yang dianggotai oleh wakil-wakil masyarakat sivil, pengamal undang-undang, negarawan, individu-individu berkepentingan dan ahli-ahli politik itu, pendirian itu dicapai dalam satu Sidang Meja Bulat pada 23 Jun lalu.

“Terkini pihak sekretariat amat terkejut dengan tularnya satu laporan polis di khalayak ramai yang merujuk antara lainnya kepada beberapa alegasi atau dakwaan salah laku berkenaan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan,” ujar kenyataan itu hari ini.

Mereka memetik laporan polis yang tular itu menyatakan dalam kandungannya alegasi salah seorang ahli panel Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) kepada seorang Hakim Mahkamah Persekutuan berkenaan kegagalan hakim berkenaan menghormati integriti kehakiman.

“Hakim berkenaan juga didakwa pernah memohon agar Yang Amat Arif (YAA) Ketua Hakim Negara membuat keputusan memihak menyebelahi suatu pihak.

“Serta juga memohon YAA Ketua Hakim Negara untuk menukarkan (transfer) seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang telah mengendalikan kes dan tidak bersependapat dengan pandangan Hakim Mahkamah Persekutuan tersebut,” kata mereka memetik laporan polis tersebut.

Sekretariat berkata, walaupun dakwaan itu perlu disiasat dan seharusnya disiasat dengan adil, namun pihaknya memandang serius perkara itu.

Katanya, perkara itu menjadi lebih genting apabila Hakim Mahkamah Persekutuan berkenaan juga menjadi subjek permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding komital serta dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Ia jelasnya mengenai dakwaan kemungkinan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 204 dan 209 Kanun Keseksaan berkaitan kes yang dikenali sebagai ‘Titah Addendum Najib Razak’.

“Sekretariat memandang serius alegasi-alegasi dan dakwaan ini. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mesti diberi segala ruang yang mencukupi tanpa sebarang pengaruh tidak wajar dari mana-mana pihak dalam melakukan siasatannya.

“Lebih-lebih lagi apabila maruah dan integriti badan kehakiman kini mula menjadi perbualan masyarakat,” katanya.

Sekretariat turut menyarankan agar Hakim Mahkamah Persekutuan tersebut kini perlu dengan rendah diri berundur dari mendengar sebarang rayuan atau permohonan sehingga siasatan polis selesai.

“Alegasi dan dakwaan itu sendiri cukup untuk mencemarkan ikrar sumpah taat setia yang diambil oleh mana mana Hakim,” tegasnya.

Dalam kenyataan sama, Sekretariat menggesa sekali lagi agar Perdana Menteri juga mestilah bercuti dari jawatan Perdana Menteri sehingga kes peribadi yang dibawa terhadapnya selesai.

“Sekretariat mengulangi gesaan bahawa Kehakiman adalah badan yang mesti bertindak mempertahan keluhuran undang-undang dan ini mesti kelihatan dilakukan,” gesanya.

Jelas Sekretariat, adalah amat perlu pada masa ini Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) mengenepikan nama Hakim Mahkamah Persekutuan tersebut dari mana-mana cadangan.

Iaitu untuk diangkat sebagai Hakim Besar Malaya, Presiden Mahkamah Rayuan, hatta Ketua Hakim Negara sendiri sehingga isu laporan polis itu selesai.

“Tambahan pula, perlu ditekankan media mempunyai peranan untuk melapor berita dengan bertanyakan soalan-soalan wajar agar masyarakat Malaysia sentiasa dimaklumkan apa yang sedang berlaku,” terangnya.

Sekretariat tersebut juga berkata, sebarang bentuk tekanan kepada media adalah amat dikesali sekiranya ia benar-benar berlaku dalam situasi itu.

“Sekretariat sekali lagi, memperingatkan bahawa rakyat Malaysia, dari pelbagai lapisan, kedudukan, dan latar belakang mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama memantau proses pelantikan mana-mana jawatan tinggi dalam negara agar ianya tidak diganggu gugat oleh Eksekutif yang berkuasa,” katanya.

Sekretariat turut memaklumkan bahawa mereka akan terus berhubung dengan masyarakat melalui media mengenai tindakan berikutnya dalam perkara itu. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -