30 ekar tanah diusahakan nanas di KBV Gong Datok

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Tanah seluas 30 ekar di Kelantan Bio Valley (KBV) di Gong Datok dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal di sini, ditanam sebanyak 7,000 nanas dari variasi MD2.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif itu diusahakan syarikat anak tempatan, Golden Noor.

Beliau berkata, usaha tersebut bakal merancakkan sosio ekonomi penduduk tempatan selain menjadikan DUN Gaal sebagai pengeluar nanas bermutu tinggi di Malaysia tidak lama lagi.

“Sebanyak 70,000 pokok nanas MD2 telah berjaya ditanam oleh Syarikat Golden Noor, salah satu pengusaha tempatan yang komited mengangkat potensi industri nanas di negeri ini.

“Usaha ini memperlihatkan keupayaan Gaal sebagai tapak pertanian strategik dan bakal menjadi antara hab pengeluaran nanas berkualiti,” katanya menerusi hantaran Facebook kelmarin.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu diiringi ADUN Gaal, Ustaz Mohd Rodzi Jaafar mengadakan lawatan kerja ke lokasi iti bagi melihat penanaman tersebut.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri mengadakan lawatan kerja projek tanaman nanas MD2 seluas 300 ekar diusahakan syarikat Aqina Fruits bersama penduduk tempatan.

Lawatan tersebut dibuat bagi menimba pengalaman penduduk dan syarikat terbabit yang mengusahakan tanaman sehingga mampu menjana sosio ekonomi masyarakat tempatan.

“Peserta dari tujuh buah FELDA dari B40 ini dibuat dengan kerjasama Agrobank, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, dan Kerajaan Negeri Pahang di atas tanah seluas lebih 300 ekar.

“Melalui lawatan ini, saya berhasrat mewujudkan komuniti petani nanas berskala besar di Kelantan yang diharap mampu menjadi model kejayaan agro komuniti luar bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2025

- Advertisement -