
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu melabuhkan 12 unit tukun konservasi di perairan Pulau Redang bagi dijadikan habitat dan tempat pembiakan ikan serta hidupan laut.
Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, program pelabuhan tukun itu telah bermula sejak 2006 dan dipertingkatkan dari segi kuantiti mulai 2018 bagi membantu meningkatkan sumber perikanan tempatan.
“Selain 12 unit tukun konservasi yang dilabuhkan, kerajaan juga merancang untuk melabuhkan 80 unit tukun rekreasi di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang, masing-masing 16 unit bagi setiap daerah.
“Projek ini dijangka bermula pertengahan atau minggu keempat Ogos ini, bergantung kepada proses pembuatan tukun terbabit,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri itu.
Beliau ditemui selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (konservasi) di perairan taman laut Pulau Redang, di sini semalam.
Beliau berkata, berdasarkan data dan kajian, tukun yang dilabuhkan sebelum ini memberi impak positif kepada peningkatan hasil tangkapan nelayan pantai, selain berfungsi sebagai penampan kepada pencerobohan pukat tunda.
“Pada tahun 2023, hasil tangkapan nelayan pantai meningkat kira-kira 39 peratus daripada 33,000 metrik tan pada 2022 kepada 46,000 metrik tan. Kita juga sedang menunggu data Jabatan Perangkaan Malaysia yang dijangka dikeluarkan 1 Julai ini untuk mengesahkan trend peningkatan tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan garisan sempadan tukun sepanjang 245 kilometer dari Kemaman hingga Besut, dengan sasaran satu kelompok tukun bagi setiap kilometer.
Beliau berkata, ketika ini, terdapat kira-kira 1,600 unit tukun di perairan Terengganu dari Besut hingga Kemaman.
“Hasrat kita ialah untuk melindungi zon tangkapan nelayan pantai dalam jarak lima batu nautika dari pencerobohan, khususnya pukat tunda. Ada kawasan dijadikan taman laut sebagai tukun sokong konservasi, iaitu kawasan larangan untuk penangkapan ikan bagi memberi peluang kepada pembiakan hidupan laut,” jelasnya.
Mengulas jumlah tukun yang bakal dilabuhkan, beliau berkata kerajaan menyasarkan pelabuhan 100 unit tukun setiap tahun, tetapi jumlah itu bergantung kepada peruntukan bajet semasa.
“Kalau bajet kurang, jumlah tukun yang dilabuhkan mungkin sekitar 80 hingga 100 unit setahun. Jika jumlah ini berkurangan, sasaran kita untuk menyiapkan garisan sempadan tukun mungkin mengambil masa lebih panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2025




















