Pelantikan hakim kanan: PM digesa tidak terlibat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menzahirkan kebimbangan terhadap proses pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman negara yang memerlukan nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, susulan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara (CJ) dan Presiden Mahkamah Rayuan (PCA) awal Julai ini.

- Advertisement -

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkembangan itu penting kerana kedua-dua penyandang tidak ditawarkan penyambungan tempoh perkhidmatan selama enam bulan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan dan menjadi amalan sebelum ini.

“Difahamkan bahawa kedua-dua penyandang jawatan berkenaan tidak ditawarkan penyambungan tempoh perkhidmatan selama enam bulan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan dan menjadi amalan sebelum ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setiausaha Agung PAS itu berkata, pelantikan individu baharu bagi mengisi kekosongan itu perlu dilakukan dalam masa terdekat.

“PN ingin menzahirkan kebimbangan berhubung proses pelantikan yang memerlukan nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan amalan semasa,” tegasnya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, kebimbangan itu timbul kerana Perdana Menteri kini masih mempunyai kes yang belum selesai di mahkamah.

“Sebarang penglibatan beliau dalam memberi nasihat berkaitan pelantikan hakim-hakim kanan boleh menimbulkan konflik kepentingan yang nyata, sekali gus menghakis keyakinan rakyat terhadap kebebasan serta integriti institusi kehakiman negara,” jelasnya.

Menurutnya, dalam sebuah negara hukum, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi juga mesti kelihatan dilaksanakan.

“Maka, amatlah penting untuk memastikan pelantikan hakim-hakim tertinggi ini dibuat secara bebas, telus dan tanpa sebarang pengaruh politik atau kepentingan peribadi,” terangnya.

Beliau berkata, PN amat bersetuju dengan resolusi yang dibuat oleh Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman, yang dianggotai oleh tokoh negarawan, pakar perundangan serta pimpinan NGO dan masyarakat sivil yang prihatin.

“Antara cadangan kami ialah Perdana Menteri wajar menarik diri daripada memberi nasihat dalam pelantikan ini, sekurang-kurangnya sehingga kes beliau diselesaikan di mahkamah,” tegasnya.

Selain itu, katanya, satu mekanisme interim perlu diwujudkan bagi mengelakkan percanggahan kepentingan.

“Sama ada melalui sebuah Jawatankuasa Khas atau peranan lebih bebas oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC),” ulasnya.

Takiyuddin berkata, JAC juga perlu diperkukuh dan dirombak agar lebih bebas daripada pengaruh eksekutif.

“Ini termasuk dengan mewujudkan pengesahan silang oleh jawatankuasa pilihan Parlimen seperti diamalkan di negara-negara demokrasi lain,” cadangnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan dan semua institusi berkaitan melihat isu itu dengan serius.

“(Mereka perlu) bertindak segera untuk memastikan proses pelantikan berjalan dengan penuh integriti, demi mempertahankan kebebasan badan kehakiman serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2025

- Advertisement -