
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan proses pemulihan lebih pantas daripada jangkaan awal.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkembangan itu memberi keyakinan untuk tokoh terbabit dapat kembali bertugas tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, saya telah melawat beliau dan sangat teruja melihat prosedur yang dijalani Tuan Guru berjalan lancar dan proses pemulihan juga sangat cepat.
“Doktor turut memaklumkan bahawa proses pemulihan itu agak luar biasa memang cepat daripada jangkaan. Insya-Allah beliau mampu untuk kembali dengan kerja selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian East Coast Energy 2025 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Mengulas mengenai maklumat rawatan yang sebelum ini tidak didedahkan kepada umum, Ahmad Samsuri berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang dan masa untuk proses pemulihan tanpa gangguan.
“Saya rasa dua atau tiga hari sebelum jalani prosedur, anak Tuan Guru, Dr Muhammad Khalil ada membuat kenyataan memohon kita semua berdoa dan sebagainya.
“Jadi bukan rahsia, tapi berilah ruang untuk proses pemulihan beliau dengan lebih cepat sebab bila prosedur di hospital ini kalau ada tidak kena cara akan berlaku jangkitan dan sebagainya.
“Dengan keadaan usia Tuan Guru kita kena meminimakan segala kemungkinan-kemungkinan yang menganggu proses pemulihan,” jelas beliau.
Menurut Ahmad Samsuri, soal pendedahan maklumat lanjut mengenai prosedur rawatan perlu dirujuk kepada ahli keluarga kerana ia membabitkan soal privasi.
“Bagi soal prosedur atau rawatan, itu bukan bidang saya. Ia perlu dijawab oleh pihak keluarga kerana setiap orang mempunyai privasi masing-masing, khususnya dalam soal kesihatan,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 23/6/2025











