
KUALA LUMPUR: Yusfarizal Yussoff berpandangan bahawa kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Perasmian Hari Belia Negara 2025 pada 14 Jun lalu, secara tidak langsung membawa maksud bahawa anak muda perlu menyokong PAS.
Menurut pengamal undang-undang itu, dalam ucapan tersebut, Perdana Menteri mencabar anak muda untuk menolak pemimpin yang rasuah dengan berkata, ‘Saya nak tanya anak muda, apakah kita harus izinkan pemimpin rasuah?’.
Katanya, secara konklusi bertentangannya atau mafhum mukhalafah, cabaran itu bukan sahaja membawa maksud menolak pemimpin rasuah, malah memilih pemimpin yang tidak dilingkari isu rasuah dan salah guna kuasa.
“Konklusi yang lebih makro pula, seruan tersebut bukan terhenti setakat memilih pemimpin yang tidak dilingkari isu rasuah dan salah guna kuasa, bahkan anak muda perlu juga memilih parti politik yang langsung tidak terpalit dengan apa-apa isu rasuah dan salah guna kuasa.
“Oleh yang demikian, Perdana Menteri seolah-olah ingin mengajak anak muda untuk menyokong PAS kerana PAS adalah merupakan satu-satunya parti politik di Malaysia yang tidak dicemari isu rasuah dan salah guna kuasa setakat ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pemimpin-pemimpin PAS diketahui umum tidak pernah terlibat dengan pertuduhan kes rasuah di Mahkamah.
Katanya, tuduhan bahawa PAS pernah menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Umno atau dana 1MDB yang dianggap sebagai tuduhan paling berat berkait rasuah terhadap PAS.
Tuduhan itu ulasnya, juga telah disahkan sebagai tidak benar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataannya pada 25 Februari 2019.
Beliau turut menjelaskan mengenai tuduhan terbaru bahawa PAS mengamalkan rasuah atau politik wang ketika pilihan raya melalui bantuan wang tunai ‘one-off’ oleh Kerajaan Negeri Terengganu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tersebar juga video yang menunjukkan berlakunya sumpah ‘Wallahi saya undi PAS’ sebelum wang tunai diberikan.
“Namun begitu, tuduhan berat ini juga akhirnya terbukti satu rekaan dan penyelewengan fakta apabila Mahkamah Persekutuan sendiri dalam rayuan Petisyen Pilihan Raya Marang oleh Barisan Nasional ke atas kemenangan Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ditolak oleh Mahkamah.
“(Ia) dengan alasan bahawa bantuan wang tunai ‘one-off’ yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bukanlah satu bentuk rasuah pilihan raya. Video yang tersebar juga gagal dibuktikan kebenarannya,” terangnya.
Menurut beliau lagi, PAS yang tidak dicemari dengan rasuah turut dipersetujui melalui kajian akademik oleh Junaidi et al (2020) dalam kajiannya.
Kajiannya itu katanya bertajuk ‘Prestasi Dan Penerimaan Pengundi Terhadap Parti Islam Semalaysia (PAS) Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 Di Wilayah Pantai Barat Semenanjung Malaysia’.
Ia tambahnya diterbitkan dalam ‘Journal of Social Science and Humanity’, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“PAS yang tiada kes rasuah dan penyelewengan merupakan faktor yang dilihat oleh pengundi dalam memberi undi kepada PAS.
“Hal ini kerana jika dibandingkan dengan pemimpin dari parti lain yang sentiasa terpalit dengan isu rasuah, PAS pula bersih dari isu tersebut,” katanya memetik kajian itu.
“Oleh yang demikian, cabaran Perdana Menteri hanya membawa satu sahaja maksud – Anak muda mesti sokong PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2025











