
KOTA BHARU: Apa digambarkan mengenai Kelantan seringkali tidak sama dengan hakikat sebenar dilihat sendiri oleh pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
Zamakhshari Muhammad mendedahkan ramai pelawat dari luar mengakui persepsi awal mereka terhadap Kelantan ternyata meleset selepas datang sendiri dan melihat realiti kehidupan masyarakat negeri ini.
“Sudah banyak kali orang luar yang datang ke Kelantan berkata apa yang mereka dengar pasal Kelantan berbeza dengan apa yang mereka lihat sendiri.
“Itulah yang saya maksudkan ‘seeing is believing’. Apa yang kita lihat itulah yang akan kita percaya,” katanya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan delegasi masyarakat bukan Islam dari Melaka yang hadir ke Kelantan semalam untuk melihat sendiri budaya dan kehidupan masyarakat di negeri ini.
Rombongan yang diketuai Dr Shawn Loh itu melibatkan pelbagai latar belakang dan bertujuan meninjau sendiri keharmonian serta nilai perpaduan masyarakat di Kelantan.
“Sebelum ini mereka hanya kenal Kelantan melalui media sosial sahaja. Tapi kali ini mereka dapat melihat dengan kaca mata mereka sendiri. Dan apa yang mereka lihat itu jauh berbeza dengan apa yang orang lain selalu perkatakan,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, perpaduan masyarakat di Kelantan telah lama terbina atas asas saling menghormati antara kaum dan budaya, sekali gus menjadikan negeri ini kekal aman dan harmoni.
Beliau berkata sekiranya ada yang tanya apa rahsia Kelantan kekal aman damai, jawapannya adalah pada sikap saling menghormati antara kaum itu sendiri sehingga wujudnya perpaduan yang harmoni.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak delegasi atas kesudian mereka menziarahi Kelantan dan berharap agar pengalaman itu dapat dikongsikan bersama rakan-rakan mereka di Melaka.
“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Dr Shawn Loh selaku ketua delegasi dan rombongan kerana sudi bertamu di bumi Cik Siti Wan Kembang.
“Bila pulang ke Melaka nanti, ceritalah pada kawan di sana bahawa Kelantan adalah model perpaduan,” ujarnya ketika meraikan rombongan tersebut semalam. – HARAKAHDAILY 23/6/2025




















