Terengganu pantau rapi perkembangan tiga mangsa bas

Ahmad Samsuri (baju hitam) menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga mangsa kemalangan bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
- Advertisement -

IPOH: “Kita akan memastikan mereka mendapat khidmat kesihatan yang terbaik untuk mereka sembuh dan kembali belajar seperti biasa,” itu jaminan yang diberikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian selepas menziarahi beberapa mangsa kemalangan bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kini sedang dirawat di Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Katanya lagi, pihak kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kesihatan semua mangsa dan membantu dalam sebarang bentuk keperluan, termasuk sokongan psikologi kepada keluarga yang terjejas.

“Setakat ini, seorang mangsa masih dirawat di Hospital Taiping, manakala dua lagi berada di Hospital Ipoh. Kita turut dimaklumkan ada mangsa yang telah dipindahkan dan kini menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Terengganu serta Hospital Besut.

“Kerajaan negeri sejak awal kejadian sampai sekarang menggerakkan kerjasama dengan seluruh agensi yang terlibat termasuk pihak UPSI, hospital dan perkhidmatan kesihatan bagi meredakan suasana terutama anggota keluarga yang terpaksa datang daripada jauh,” katanya dalam sidang media ringkas selepas lawatan tersebut.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Maliaman Kasim dan Datuk Razali Idris serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor dan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli.

Menurut Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman, masih terdapat mangsa yang memerlukan pembedahan, terutamanya bagi kes kecederaan parah melibatkan tulang patah.

“Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak hospital untuk mencari jalan rawatan yang terbaik kepada mereka.

“Saya juga ucapkan terima kasih banyak kepada pihak hospital dan pasukan doktor-doktor antaranya doktor pakar yang telah bertungkus lumus memastikan kesemua mangsa yang tercedera parah ini untuk mendapat rawatan terbaik.

“Tidak mudah sebenarnya untuk mengendalikan ramai mangsa sekali gus datang ke hospital tetapi saya percaya komitmen yang ditunjukkan oleh anggota perkhidmatan kesihatan daripada doktor sampai ke jururawat dan yang menjaga di wad ni.

“Saya rasa komitmen yang sangat terbaik dan kita sangat berterima kasihlah kepada mereka dan saya percaya khidmat yang sama juga akan terus dilaksanakan apabila mereka pulang ke hospital di Negeri Terengganu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengulangi pendirian kerajaan negeri untuk menanggung segala kos rawatan serta bantuan yang diperlukan oleh mangsa, sejajar dengan komitmen awal yang telah diumumkan.

“Mana-mana keperluan yang melibatkan pihak UPSI, universiti akan bantu. Kalau berkait dengan insurans, itu diuruskan saluran berkaitan. Tetapi mana-mana yang perlukan bantuan kerajaan negeri, kita akan laksanakannya.

“Jadi kita minta kepada anggota keluarga mangsa mangsa ini supaya terus berkomunikasi dengan pihak kerajaan melalui wakil rakyat di tempat masing masing.

“Segala keperluan ataupun memerlukan khidmat kaunseling dan sebagainya terus berhubung dengan wakil rakyat kawasan masing-masing dan kita akan cuba atur yang terbaik untuk mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2025

- Advertisement -