
JAULAH LESTARI bergerak ke Sabah bersama NGO Muslim Care Malaysia berbakti ‘Negeri Di Bawah Bayu’ yang mempunyai kerencaman etnik dan kepercayaan. Sabah juga terkenal dengan masyarakat tanpa warganegara yang mendiami pesisir laut dan pihak keselamatan yang mengawal ketat perairan kerana wilayah ini sangat terdedah dengan penyusupan musuh negara. Sabah bukanlah negeri yang asing untuk pelbagai misi bantuan kemanusiaan, dakwah serta kebajikan pelbagai NGO puluhan tahun yang lalu.
Cuaca panas terik bulan Zulkaedah yang menikam ubun-ubun kepala sangat menginsafkan kami, kadang hujan menyerbu tak menentu makin menggamit keinginan untuk menyantuni masyarakat jembel di daerah Tawau daan Semporna. Merenung anak-anak asnaf dengan persekitaran yang kumuh dengan lingkungan sosial sebegitu sangat tidak menceriakan hati kami di Pulau Mabul.
Abang Dai, aktivis tersohor bumi Sabah terutama di belahan Tawau, Kalabakan menyusun program LESTARI seperti ‘talkshow’, liqa fikri, kuliah subuh, diskusi Nakbah Palestin, serahan bakul makanan kepada asnaf. Jemaah Masjid Jiran, Taman Ria Height memadai masjid, mengunyah pengisian tentang peristiwa Nakbah Palestin serta kondisi terkini di Gaza. Aktivis PAS di Kalabakan menganjurkan liqa fikri bagi memugar semangat ahli-ahli, termasuk sebahagian mereka terlibat dalam pengeoperasian pilihan raya di Jerteh Terengganu pada Ogos 2023. Acara mengagihkan bantuan kepada 50 keluarga asnaf telah diadakan di Kampung Seri Menanti Tanjung Batu Otentik Tawau usai ‘talkshow’ subuh. Program liqa fikri bersama para pendidik PASTI juga telah diadakan di Dewan Utama masjid Al kausar bandar Tawau. Institusi pendidikan pra sekolah berorientasi Islam itu sangat berjasa di bumi Sabah dan sangat fenomenal dalam mengenalkan anak-anak kecil dengan 3M.

Kami menyambung lagi Jaulah LESTARI ke Pulau Mabul, acara dakwah serta kebajikan kepada masyarakat tempatan diadakan sebagaimana biasa dilakukan bila menjejakkan kaki ke pulau pelancongan ini. Program juga melibatkan etnik Bajau Laut yang mendiami bot, bersahabat dengan kehidupan laut, juga tanpa mobiliti sosial kerana mereka warga tak berdokumen. Tanpa ilmu dan kepakaran mereka dilambung badai laut, mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup. Hati bagai direnyuk apabila rombongan menyantuni asnaf laut yang sangat dhaif, anak-anak yang meminta makanan dengan wajah dimanifestasikan daripada keterpurukan hidup. Bajau Laut, etnik kecil yang seolah menjadi tontonan pelancong asing dengan bedak sejuk bertampal pada guratan wajah mereka yang tak bergizi. Ada yang tak mampu mengucap kalimah Syahadah dan tak mengerti apa-apa pun tentang Islam.
Tanggungjawab mencerahkan mereka mengenai Islam sangat besar dipundak kita semua orang beriman, bukan hanya memberikan makanan yang akan melepaskan rasa lapar, namun juga aspek tarbiah. Menjiwai dan berempati dengan korpus kehidupan anak-anak suku Bajau Laut yang nyata kekurangan bimbingan Islam maka, Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM), Tuan Haji Zulkifli Wahijan bersama relawan lain dengan pantas memutuskan untuk mewujudkan madrasah terapung, khusus untuk kelompok Bajau Laut. Usaha menggalang dana dibuat walaupun musim pandemik menyelimuti tanah air.

Usaha ini dibantu oleh aktivis dan pendakwah yang cakna akan nasib masyarakat Bajau Laut, pelbagai NGO dakwah dan kebajikan sering bertandang ke sini. Usaha membantu mereka perlu digalang secara berterusan dan bersasar. Pelbagai rancangan akan dilaksanakan secara bersinergi dengan rakan-rakan NGO lain yang prihatin dalam isu ini. Objektifnya untuk memastikan penduduk Mabul terutama kanak-kanak di sini terus mendapat manfaat dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam kehidupan mereka.
Menurut Panglima Mubin Paraja, ketua enik Bajau di Mabul, kanak-kanak Bajau Laut atau digelar sebagai Palaoh yang tinggal dalam rumah-rumah sampan agak berbeza dengan kanak-kanak lain, cara hidup nomad di laut, sulit untuk berubah dan tak boleh menyesuaikan diri dengan suasana sekolah di daratan. Kami diberi peluang menaiki madrasah terapung, melihat kaedah mereka belajar ilmu Islam daripada Ustazah Fatimah. Mulut-mulut comel anak-anak Bajau laut mengumam ayat-ayat Allah, juga belajar ilmu tauhid. Menariknya semakin ramai anak Bajau laut memakai pakaian yang menutup aurat, benarlah bahawa hanya ilmu akan menjadi alat transformasi sosial masyarakat.
Program dakwah di Mabul juga sangat menguja akal apabila melihat jemaah masjid yang menggebu semangat mendengar kisah penderitaan di Gaza serta mengimbau sejarah emas bumi Palestin. Seramai 50 keluarga asnaf juga mendapat bantuan bakul makanan serta ahli rombongan diiringi Ustaz Morshid melawat Madrasah Islamiah Pulau Mabul. Kami menyediakan sarapan pagi kepada 350 orang pelajar serta memberikan suntikan motivasi kepada anak-anak Pulau yang diharapkan menjadi generasi yang celik agama. Keseriusan pihak pentadbiran madrasah membangun kesedaran kepada masyarakat jelas terbukti dengan penambahan satu lagi blok bangunan. Bangunan setingkat itu dibina secara gotong royong dengan menggunakan bahan terpakai daripada projek pembinaan masjid Pulau Mabul.

Pemusafiran dakwah dan berkebajikan selama tiga hari ini sangat meruntun sukma, menambah koleksi pengalaman hidup. Misi yang sarat dengan pengajaran dan cerminan kepada anggota Jaulah LESTARI Muslim Care ke Sabah kali ini, hidup ini sangat singkat untuk bermalasan dan sendawa kekenyangan. Sabah kaya dengan pelbagai budaya, menjadi ladang dakwah yang subur kepada semua abnaul harakah. Insyaallah kami akan bertandang lagi pada masa akan datang mengusung aspirasi seni berkiblat!
USTAZ DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Sukan, Kesenian dan Budaya (LESTARI) – HARAKAHDAILY 16/6/2025











