Perpecahan umat jangan disambung, jadilah penyembuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah mengingatkan bahawa perpecahan umat Islam bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah bermula sejak zaman para Sahabat RA dan memberi kesan besar hingga ke hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, sejarah mencatatkan perpecahan besar dalam kalangan umat Islam berlaku selepas kewafatan Khalifah Sayyidina Uthman dan pelantikan Sayyidina Ali, yang membawa kepada Perang Jamal dan Perang Siffin antara Sayyidina Ali dan Muawiyah di tebing Sungai Furat, Iraq.

“Dari detik itulah, umat Islam mula terpecah. Pecahan yang bukan kecil, tetapi membentuk mazhab dan aliran yang kekal berbekas hingga hari ini,” ujarnya dalam media sosialnya.

Beliau menjelaskan, daripada Perang Siffin itu muncul dua cabang besar perpecahan, iaitu golongan Khawarij dan Syiah, masing-masing membawa implikasi besar terhadap aqidah dan perpaduan umat.

“Golongan Khawarij mengkafirkan sesiapa yang berbeza dengan mereka dan menghalalkan darah sesama Muslim, walau sehebat mana pun orang itu.

“Bayangkan, Sayyidina Ali yang merupakan sepupu, menantu dan antara Sahabat paling rapat dengan Nabi SAW pun dianggap kafir dan dibunuh oleh Khawarij.

“Kalau Sahabat seperti Ali pun dianggap halal darah, apalah sangat kita yang jauh lebih rendah,” jelas beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu.

Manakala katanya, golongan Syiah pula lahir daripada kekecewaan dan pertikaian terhadap kepimpinan selepas kewafatan Nabi SAW, seterusnya berkembang menjadi mazhab dengan banyak kecelaruan aqidah dan sejarah.

“Hingga hari ini, Syiah berkembang di beberapa wilayah seperti Iran dan India, dan kerap bertembung dengan umat Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam banyak isu,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa pemikiran Khawarij kini muncul semula dalam bentuk moden, dengan serangan dilakukan bukan dengan pedang tetapi melalui lidah dan pena yang tajam, mudah menghukum dan cepat melabel.

“Tidak setuju sikit, dituduh kafir. Tidak ikut pendapat mereka, dihukum sesat. Sedangkan Islam tidak begitu. Nabi SAW mengajar untuk menegur dengan hikmah, untuk bersabar dengan perbezaan, dan mendahulukan nasihat sebelum hukuman,” tegurnya.

Beliau turut menyatakan perpecahan umat memberi kesan yang berat dan berpanjangan, bukan sekadar mengganggu politik dan kuasa, tetapi turut menggelincirkan akidah serta merosakkan masyarakat.

“Yang menanggungnya bukan sahaja pemimpin, tetapi seluruh masyarakat, anak-anak yang membesar dalam kebencian, rakyat yang hilang arah, dan musuh yang menangguk di air keruh,” ulasnya.

Katanya, jika benar-benar mencintai agama, umat Islam tidak seharusnya menjadikan perbezaan sebagai medan tempur, sebaliknya perlu mengurusnya dengan iman dan hikmah.

“Selagi ada ruang untuk berdamai, selagi itulah kita wajib berusaha. Selagi mampu menasihati, jangan cepat menghukum. Dan selagi darah belum mengalir, jangan kita main api yang akan membakar semuanya,” nasihatnya.

Mohd Amar menyeru agar umat Islam tidak menjadi penyambung kepada luka sejarah yang sudah lama dideritai umat, sebaliknya menjadi penyembuh dan penenang sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Menurut beliau, walaupun hari ini perbalahan tidak lagi berlaku dengan pedang dan tombak, pertempuran kini berlaku dengan kata-kata, kenyataan media, sindiran serta penghinaan di media sosial.

“Bahasa menjadi peluru, suara menjadi senjata. Luka di hati tetap terasa,” kupasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Kelantan.

Mohd Amar turut menyindir mereka yang hanya berani mengkritik di media sosial tetapi tunduk dan berdiam diri apabila bersemuka.

“Kalau terserempak depan-depan, pucat muka, senyum kambing. Ini bukan berani. Ini cuma berani di tempat gelap,” tempelaknya.

Beliau menegaskan dalam suasana politik yang keliru, umat Islam tidak boleh hilang arah dan perlu berpegang kepada prinsip iaitu berpandukan kepada al-Quran dan hadis.

“Bila berlaku perselisihan, jangan tengok siapa bercakap, tengok apa yang dia bawa. Kalau betul dia berpandukan al-Quran dan hadis, walaupun dia bukan dari kumpulan yang kita biasa dengar, maka itulah yang patut kita sokong,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan, dalam masyarakat penuh dengan warna politik seperti di Indonesia, ramai yang bingung memilih pemimpin kerana terlalu banyak parti Islam, namun penyelesaian tetap terletak pada panduan wahyu.

“Biarlah semua pihak berkempen, berbincang, berbalas idea, tetapi akhirnya kita nilai siapa paling dekat dengan ajaran Islam yang sebenar,” nasihatnya lagi.

Mohd Amar juga mengumpamakan politik dengan penjual ubat, yang mendakwa ubat masing-masing paling mujarab, tetapi apabila si penjual sendiri tidak sihat, maka keraguan timbul terhadap kejujuran mereka.

“Kalau seseorang itu dakwa dia nak perjuangkan Islam, tetapi peribadinya menjauh dari sunnah, akhlaknya buruk, lidahnya tajam menghina orang lain, maka itu bukan ubat. Itu racun,” terangnya.

Justeru katanya, dalam dunia yang penuh perbalahan, umat Islam tidak sepatutnya mengikut pemimpin kerana kemahiran berkata-kata atau jumlah penyokong, sebaliknya memilih pemimpin yang membawa lebih dekat kepada Allah.

“Ikut orang yang bercakap dengan ilmu. Yang berhujah dengan adab. Yang kalau ditegur, dia tunduk. Yang kalau disanjung, dia tetap merendah diri,” jelasnya.

Mohd Amar mengingatkan bahawa kemenangan di sisi Allah tidak ditentukan oleh siapa yang paling kuat, tetapi siapa yang paling benar.

“Kerana akhirnya, bukan siapa yang paling kuat yang akan menang, tapi siapa yang paling benar di sisi Tuhan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2025

- Advertisement -