Petani DUN Gaal lawat ladang nangka Rosyam Nor

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 50 petani dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal dibawa melawat ladang nangka yang diusahakan oleh pelakon dan pengarah filem terkenal, Dato’ Rosyam Nor.

- Advertisement -

Lawatan ladang seluas kira-kira 100 ekar itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menurutnya, aktiviti itu dibuat bagi memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai kaedah sebenar pelaksanaan pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) dalam pertanian.

“Peserta kita hampir 50 orang lebih ini sudah mencuba buah nangka yang diusahakan ini, sangat enak, cuma kita datang nak belajar nak ambik ilmu, balik kita buat di Kelantan.

“Kita mendapat tunjuk ajar sangat penting ini salah satu ilmu yang kami terima kami minta halalkan untuk kami praktikkan bila pulang ke Kelantan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Lawatan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Ustaz Rodzi Jaafar dan Pengurus Ladang, Azman Nor dan Pengurus Besar Damai Sdn Bhd, Nasrul Hakimi Mohd Nasir.

Ladang yang terletak dalam Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang itu diusahakan secara besar-besaran dan komersial dengan tanaman nangka dan durian belanda.

Dalam pada itu, rombongan itu turut dibawah melawat projek tanaman nanas MD2 seluas 300 ekar yang diusahakan penduduk tempatan dibawah kelolaan kumpulan syarikat Aqina Fruits.

“Peserta dari tujuh buah FELDA dari B40 ini dibuat dengan kerjasama Agrobank, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, dan Kerajaan Negeri Pahang di atas tanah seluas lebih 300 ekar.

“Melalui lawatan ini, saya berhasrat mewujudkan komuniti petani nanas berskala besar di Kelantan yang diharap mampu menjadi model kejayaan agrokomuniti luar bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2025

- Advertisement -