Panggung wayang bakal wujud semula di Perlis?

Foto THE KANGAR
- Advertisement -

KANGAR: Selepas lebih dua dekad tanpa sebarang panggung wayang, negeri Perlis kembali menjadi tumpuan apabila timbul persoalan sama ada layar perak bakal mewarnai semula landskap hiburan di negeri paling utara tanah air ini.

- Advertisement -

Walaupun tiada sebarang permohonan rasmi dikemukakan setakat ini, desas-desus mula bertiup bahawa Kangar Jaya Mall, pusat komersial baharu yang sedang meningkat naik berpotensi menjadi lokasi pertama membuka semula ruang hiburan berasaskan filem di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, kerajaan negeri belum menerima sebarang kertas cadangan rasmi.

Namun demikian jelasnya, perbincangan awal sedang giat dijalankan, khususnya berkaitan garis panduan hiburan patuh syariah.

“Garis panduan ‘syariah-compliant’ sedang kita kaji. Kita juga sedang mendapatkan maklumat daripada negeri-negeri lain dan pandangan pakar-pakar berkaitan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri tidak menutup pintu terhadap pembangunan hiburan, tetapi sebarang bentuk hiburan yang dibenarkan perlulah selari dengan maqasid syariah dan nilai setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan pula berkata, satu sesi perbincangan bersama pelbagai agensi agama telah berlangsung bagi membentuk suatu dasar yang lebih komprehensif.

“Garis panduan tersebut dijangka akan dikeluarkan sebelum Disember 2025,” katanya kepada Harakahdaily.

Antara pihak yang terlibat dalam sesi tersebut termasuk Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs).

Juga Yayasan Agama Islam Perlis (YIPs) serta penyanyi nasyid tempatan, Ustaz Fitri Alawee, yang turut memberikan pandangan sebagai anak seni dan anak jati Perlis.

Menurut Ustaz Muhammad Azmir, Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun yang menjadi penentu adalah bentuk dan pendekatan dalam penganjuran hiburan itu sendiri.

“Kita tidak mahu menutup ruang seni, tetapi kita mahu menyantuninya. Kita ingin melihat hiburan yang mendidik, menyegarkan jiwa, dan tidak bercanggah dengan prinsip akhlak dan adab Islam,” jelas beliau.

Tambah beliau, kerajaan negeri bercita-cita menjadikan Perlis sebagai negeri contoh dalam mempersembahkan hiburan yang seimbang antara keseronokan dan keinsafan, antara komersial dan kerohanian.

Model patuh syariah

Untuk itu, beberapa siri libat urus bersama agensi-agensi seni serta pemain industri hiburan akan dianjurkan dalam masa terdekat bagi memastikan garis panduan bakal dikeluarkan bukan sahaja relevan, tetapi juga praktikal dan inklusif.

Tujuannya jelas, memastikan sebarang bentuk hiburan atau persembahan nyanyian tidak menjadi ruang maksiat, tetapi ruang menyuburkan nilai.

“Kita ingin pastikan aktiviti hiburan berjalan lebih teratur dan memelihara sensitiviti masyarakat, khususnya umat Islam,” ujar Ustaz Muhammad Azmir lagi.

Sebagai rujukan, negeri Kelantan sebelum ini membenarkan operasi pawagam dengan syarat tertentu seperti pengasingan tempat duduk lelaki, perempuan dan keluarga.

Pendekatan ini dilihat berjaya membentuk satu sistem hiburan yang terkawal dan memelihara adab hingga timbul kemungkinan bahawa Perlis akan mengikut jejak Kelantan.

Setakat ini, tiada sebarang ketetapan dibuat, namun, ramai menjangkakan pendekatan seumpama itu mungkin akan menjadi model atau sekurang-kurangnya rujukan dalam penyediaan garis panduan akan datang.

Apa yang jelas, hasrat membuka semula panggung wayang bukan soal hiburan semata-mata, tetapi juga melibatkan persoalan dasar, budaya dan keagamaan.

Perlis sebagai negeri terkenal dengan pendekatan agama dan budaya timur yang kuat, perlu mengimbangi antara kehendak semasa dan prinsip dipegang masyarakat.

Buat masa ini, belum ada sebarang keputusan rasmi dibuat dan kerajaan negeri dilihat mengambil pendekatan berhemah berhati-hati dalam membuat keputusan, namun terbuka untuk mendengar pandangan pelbagai pihak.

Sama ada panggung wayang akan kembali mewarnai malam di Kangar atau Arau atau ia kekal sebagai satu nostalgia masa lalu, semuanya akan terjawab menjelang penghujung tahun ini tatkala garis panduan hiburan patuh syariah Perlis bakal dilancarkan. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -