Kelantan sedia jadi tuan rumah Sepak Takraw League

Pacu sukan dan pelancongan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw League (STL) musim akan datang memandangkan sukan itu mampu menjadi pemangkin pembangunan sukan tempatan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, usaha membawa masuk kejohanan itu juga boleh memperkukuh sektor pelancongan negeri melalui penglibatan peminat serta pasukan dari seluruh negara dan rantau ini.

“Kerajaan Negeri amat terbuka dan menyambut baik saranan Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK) untuk membawa Sepak Takraw League (STL) ke Kota Bharu.

“Jika kejohanan itu berjaya dianjurkan di sini, pastinya para penyokong dan peminat dapat menyaksikan aksi bertaraf tinggi secara langsung di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Kelantan Warriors di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Menurutnya, penganjuran kejohanan besar seperti STL selari dengan usaha menjadikan Kelantan sebagai hab sukan warisan serantau serta destinasi pelancongan sukan yang mampan, tambahan sepak takraw kini popular setanding bola sepak.

Jelas beliau, sukan itu bukan sahaja menjadi antara kebanggaan negara, malah berpotensi besar menarik pelancong ke negeri ini, sekali gus menjana ekonomi setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada GASTAK, penaja dan rakan strategik yang terus komited membangunkan sepak takraw negeri Kelantan.

“Kita harap dengan kaedah latihan yang betul dan berterusan, Kelantan mampu menjadi juara dan terus menyuntik semangat kemenangan dalam kalangan pemain muda,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Kamarudin memaklumkan bahawa sempena Tahun Melawat Kelantan 2024, kejohanan Kelantan Open telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan pasukan dari seluruh negara termasuk beberapa regu luar negara.

Beliau menyifatkan kejohanan itu sebagai bukti keupayaan Kelantan menganjurkan acara bertaraf tinggi dan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Tahniah kepada GASTAK yang kekal aktif menganjurkan kejohanan domestik dan antarabangsa. Ia bukan sahaja melonjak prestasi sukan negeri tetapi turut menggerakkan ekonomi dan sektor pelancongan secara serentak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -