Sedapnya durian……

- Advertisement -

MUSIM durian sudah kembali dan kita boleh lihat lambakan durian di tepi jalan dari pelbagai jenis, ada yang mahal, murah, durian kampung, durian kunyit, durian ceni, D24, udang merah dan macam-macam lagi.

- Advertisement -

Bagi peminat durian tentulah tidak melepaskan peluang apatah lagi raja buah ini memang terkenal dengan kenakan yang sukar digambarkan, malah datangnya bermusim pula.

Durian ini dimakan begitu sahaja pun sedap, dibuat bubur juga enak, malah dibuat tempoyak dicampurkan dengan sambal atau masakan, juga lazatnya sehingga menjilat jari.

Lebih padu sekiranya dimakan dengan pulut, bersama santan yang dicampur sedikit garam. Sukar dibayangkan, mungkin ibu mertua lalu pun tidak perasan.

Ada juga durian dijadikan serawa atau pengat, kemudian dimakan bersama pulut atau roti. Tetapi bagaimanapun caranya, keenakan buah berduri ini mampu mengalah buah-buah yang lain.

Tetapi durian juga sering dikaitkan dengan penyakit darah tinggi, kencing manis atau lain-lain penyakit seangkatan dengannya.

Apa tidaknya, kesan memakannya dalam jumlah banyak boleh mengakibatkan badan menjadi panas dan rasa manisnya yang luar biasa, boleh meningkat kadar gula di dalam badan.

Tetapi mustahil, ia dibiarkan berlalu begitu sahaja apabila berakhirnya musimnya, pasti mengundang penyesalan di dalam hati apatah lagi kalau ada yang kempunan.

Khasiat durian

Durian ini mempunyai khasiatnya tersendiri yang mungkin ramai yang tidak tahu. Hal ini kerana ramai yang lebih memberi fokus ‘side effect’ kalau dimakan banyak, hingga khasiat dan kelebihan buah ini tidak dihiraukan.

Apa kata kita cuba fokus apakah khasiat raja buah ini.

Durian ini merupakan ‘energy booster’ atau penggalak tenaga kerana ia kaya dengan ‘flavonoids’, ‘carotenoids’, ‘polyphenols, vitamin A dan B6 serta niacin.

Buah berduri tajam ini menjadi ‘booster’ kepada tenaga kerana ia mempunyai thiamin yang mampu membekalkan 30 peratus thiamin untuk keperluan badan.

Khasiatnya juga untuk kekalkan metabolisma pemecahan karbohidrat untuk ditukarkan kepada tenaga, malah durian juga adalah ‘pre-workout snack’ yang bagus.

Dua ulas durian mampu membekalkan kalori sama dengan sebiji pisang saiz sederhana, tetapi yang makan tidak ingat dunia, wajarlah lebihkan bersenam.

Keunikan durian ini juga ia mengandungi trytophan iaitu ubat tidur semulajadi dan boleh membantu kepada yang mempunyai masalah sukar tidur.

Sementara, kandungan potassium di dalam durian juga boleh mengawal degupan jantung, melegakan tekanan atau stres dan keletihan.

Sebab itu selalunya selepas makan durian, mata celik cerah dan rasa nyaman, tetapi kalau makan banyak badan pula, tidak boleh duduk diam, macam cacing kepanasan.

Durian juga mampu meningkatkan ‘immunity booster’ atau imuniti badan. Berdasarkan kajian yang diterbitkan ‘Jurnal Food’ durian mengandungi polyphenols iaitu sejenis anti oksida ‘power’ yang membantu sistem imun.

Ia juga mempunyai kesan probiotik yang baik untuk usus dan sistem imun yang kuat mengelak diserang jangkitan penyakit akibat virus serta bakteria jahat.

Tahu tak? Durian mengandungi kalsium, potassium, vitamin B1 dan B2 untuk ketumpatan tulang, kuatkan gigi dan tulang, mengurangkan risiko jangkitan gusi, plak dan kaviti.

Ada lagi khasiatnya, iaitu ia juga mempunyai antioksida aktif seperti polyphenols, anthocyanins, bioflavonoids dan karotenoids seperti yang terkandung dalam koko, teh hijau dan buahan beri.

Mampu stabilkan paras gula

Jangan pula kita terkejut, khasiat durian juga mampu menstabilkan paras gula dalam darah sebab mengandungi manganese yang tinggi, selain indeks glisemik yang rendah berbanding buah tropikal lain.

Tetapi perlu juga diingat, durian ni juga tinggi glukosa dan fruktosa, tentu wajib elak makan berlebihan, seulas dua sudah memadai, terutama yang ada hypertension dan diabetes, perlulah berhati-hati bila mengadap durian ini.

Durian ini jika makan dalam jumlah sedikit, boleh turunkan kolesterol jahat, sebab terdapat ‘unsaturated fats’ iaitu bukan lemak jahat, juga membantu penghadaman kerana mengandungi serat fiber yang mudah larut.

Bagi yang susah membuang, masalah pedih ulu hati, perut kerap kembung, thiamin dalam durian juga boleh membantu hasilkan hydrochloric acid dalam usus untuk penghadaman optimal.

Durian mempunyai sekurangnya 44 bau aktif termasuk kombinasi bau madu, sulfur, bawang yang dipanggang serta bawang busuk. Spesis durio zibethinus ini mengandungi sifat anti-aging serta membantu penghasilan hormon gembira iaitu serotonin.

Bagi yang mahu berhenti merokok, mungkin boleh mencuba durian kerana durian boleh membantu berhenti merokok. Durian mempunyai vitamin B6, B12, magnesium dan potassium iaitu bahan yang boleh membantu melawan ketagihan nikotin.

Walaupun durian ini mempunyai khasiat untuk badan tetapi tidak boleh diambil dengan jumlah yang banyak, bimbang memudaratkan pula. Tetapi janganlah pula takut kalau hendak makan durian tetapi pastikan tidak berlebihan kerana bimbang bahaya yang menanti. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -