Kumpulan pertama jemaah Andalusia tunai umrah

Nikmati suasana Haji di tanah suci

Ustaz Taha Hassan menyantuni jemaah Adalusia yang merupakan kumpulan pertama yang akan berlepas menunaikan umrah selepas musim haji.
- Advertisement -

SEPANG: Seramai 41 jemaah beserta seorang mutawif dan seorang ketua rombongan berlepas ke tanah suci awal pagi tadi dalam kumpulan pertama yang akan menunaikan umrah anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) selepas musim haji kali ini.

Pengurus Unit Agama dan Bimbingan Andalusia Travel, Ustaz Mohamad Taha Hassan, berkata pihaknya bersyukur kerana keberangkatan awal jemaah Andalusia dapat diraikan bersama wakil media.

- Advertisement -

“Harapan saya semua dalam keadaan sihat dan insya-Allah pada malam ini, trip umrah pertama dari Andalusia akan berangkat seramai 41 orang termasuk seorang mutawif dan seorang tour leader,” ujarnya kepada media, malam tadi.

Beliau berkata, antara keistimewaan yang ditawarkan pihak Andalusia ialah dari segi harga, bermula serendah RM5,990 bagi tahun ini.

“Keistimewaan juga diberi kepada jemaah trip awal pada malam ini kerana kita masih lagi dalam musim haji. Masih ada baki jemaah kita yang berada di Tanah Suci, jadi jemaah yang berlepas malam ini akan dapat merasai suasana haji lagi dan menikmati keadaan di sana.

“Mereka akan tiba di Jeddah dan pergi ke Taif terlebih dahulu sebelum ke Masjid Qarnul Manazil untuk miqat dan niat ihram, kemudian baru masuk ke Makkah,” terangnya.

Katanya, bagi pakej kali ini, jemaah akan berada di Makkah selama 10 hari sembilan malam dan empat hari tiga malam di Madinah.

“Pakej yang ditawarkan bermula daripada RM5,990 hingga RM9,000, bergantung kepada jarak hotel dan jenis hotel itu sendiri,” jelasnya.

Mohamad Taha Hassan

Beliau berkata, dari segi pengurusan visa, pihaknya masih menggunakan visa pelancong buat masa ini kerana sistem visa umrah masih belum dibuka.

“Visa umrah akan dibuka pada 1 Muharam 1447 Hijrah, lebih kurang 26 atau 27 Jun ini, insya-Allah,” jelasnya lagi.

Menurutnya, bagi musim sebelum ini iaitu 1446 Hijrah, seramai 50,434 jemaah umrah sudah diterbangkan dan pihaknya menyasarkan 80,000 orang untuk musim akan datang sehingga hujung tahun.

“Kita akan teruskan harga promosi RM4,990. Kita akan terus buat, insya-Allah,” terangnya sambil berkata bahawa buat masa ini, pihak pengurusan masih kekal kerjasama dengan koperasi sedia ada dan akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik pada masa akan datang.

“Pada malam ini, jemaah akan terbang dengan pesawat Saudi Arabia pada jam 2 pagi, insya-Allah.

“Bulan ini akan ada lagi jemaah umrah yang akan berlepas. Ini adalah trip awal. Insya-Allah selepas 15 Jun nanti akan ada lagi,” katanya.

Hati-hati dengan penipuan pakej umrah

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pakej umrah yang ditawarkan atau diiklankan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita sarankan jangan mudah terpedaya dengan pihak yang beri tawaran secara infak atau tajaan secara percuma atau separuh harga kerana setiap kos umrah atau haji ada bayaran.

“Jadi jangan fikir ia menarik hanya kerana ditanggung sepenuhnya. Itu sebenarnya satu penipuan,” katanya.

Beliau menyarankan orang ramai supaya mengunjungi sendiri syarikat terbabit dan memastikan mereka berdaftar serta lesen mereka diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Ada syarikat yang wujud tetapi tidak aktif, atau lesen tidak diiktiraf oleh MOTAC.

“Pastikan juga bayaran dibuat terus ke akaun syarikat dan bukan akaun peribadi. Banyak penipuan berlaku sama ada bagi haji mahupun umrah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/6/2025

- Advertisement -