
AYER KEROH: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, setiap hari rakyat Malaysia berdoa dan berharap agar ada pengumuman daripada kerajaan, sesuatu yang dapat mengurangkan beban terutama ekonomi keluarga atau kos sara hidup mereka.
Namun kesali beliau, rakyat sebaliknya menerima pengumuman kenaikan cukai atau skop cukai baharu daripada kerajaan bermula pada 1 Julai nanti sebagaimana kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan beberapa hari yang lalu.
Kerajaan dilapor akan menyemak kadar Cukai Jualan (CJ) dan memperluaskan skop Cukai Perkhidmatan (CP) di bawah SST yang menurut Amir, adalah untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.
Bakri selaku Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka turut menjelaskan, maksud ‘perluasan skop cukai’ bermakna ‘kerajaan ingin menambah lagi’ barang-barang yang sebelum ini tidak dikenakan cukai, tetapi bermula 1 Julai akan dikenakan cukai.
“Manakala ‘semakan kadar cukai’ pula bermaksud akan ada perubahan dalam kadar cukai. Biasanya akan naik dan jarang-jaranglah berlaku cukai turun,” ujarnya menjangka kemungkinan bakal berlaku berdasarkan perkembangan dan pengalaman sebelum ini.
Laporan tersebut menyatakan bahawa enam kategori baharu perkhidmatan akan dikenakan cukai perkhidmatan iaitu pajakan dan sewaan; pembinaan; kewangan; penjagaan kesihatan swasta; pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.
Kata Bakri, tindakan kerajaan yang semakin lama semakin memperluaskan skop dan menaikkan kadar cukai setiap tahun membibitkan kebimbangan rakyat bahawa ia bakal terus berlaku dalam pembentangan belanjawan bagi tahun-tahun mendatang.
“Pada Belanjawan 2024 dibentangkan di Dewan Rakyat penghujung 2023, kerajaan telah pun meluluskan perluasan skop dan kadar cukai baharu yang mana perluasan skop itu dikuatkuasakan pada 26 Februari 2024 manakala kadar cukai baharu pada 1 Mac 2024.
“Kini, pada 1 Julai nanti, kerajaan masing-masing akan menaikkan dan memperluaskan lagi skop dua komponen Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) itu berdasarkan kepada Belanjawan 2025 yang dibentang dan diluluskan pada penghujung tahun 2024,” ujarnya.
Rakyat menurutnya, baru sahaja dikejutkan oleh isu Ops Gas Memasak (Ops GASAK) yang telah memberi kesan besar, bukan sahaja harga makanan, malah kenaikan dalam caj pengeringan di dobi-dobi pakaian hingga membebankan peniaga dan pengguna.
“Itu belum lagi dengan penyasaran atau penghapusan subsidi petrol yang bakal berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang. Sudah tentu bakal memberi kesan kepada pengguna. Kenaikan apa yang kerajaan mahu lagi?
“Perluasan skop dan peningkatan kadar SST yang telah dilakukan selama ini sudahpun berjaya meningkatkan kadar cukai iaitu RM31.3b pada tahun 2022, RM35.4b (2023) dan RM44.7b (2024),” ujar beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka.
Menurut Bakri, dengan menambah lagi skop dan kadar baharu, seolah kerajaan sedang menghambat dan menggasak rakyat secara berterusan semenjak Pakatan Harapan-Barisan Nasional mula membentuk pemerintahan bagi meningkatkan lagi pendapatan kerajaan.
Bidas beliau, jaminan sering diucap kerajaan setiap kali mereka melakukan penambahan skop atau kenaikan kadar cukai baharu bahawa golongan B40 tidak akan terjejas, bukanlah sesuatu yang dapat melegakan hati rakyat marhaen.
“Rakyat telah melalui banyak siri-siri janji yang sama seperti itu oleh kerajaan berulang kali. Namun realitinya rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup. Dalam masa yang sama, kerajaan masih lagi menghasilkan statistik-statistik rasmi.
“Statistik itu yang di atas kertas seolah-olah menafikan kesempitan yang dihadapi rakyat. Sedangkan ekonomi bukan sesuatu yang berdiri sendiri. Tetapi ia kait berkait antara satu sama lain yang dipanggil kesan berantai.
“Walau pun secara kasar sesuatu perkara yang disentuh itu tiada kena mengena, namun ia akhirnya pasti akan terkait dan terkesan juga,” ujarnya menggambarkan beban tekanan bakal dialami rakyat dari keputusan kerajaan itu. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











