Reformasi gagal bukan salah pihak lain, tapi Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegagalan pelaksanaan reformasi oleh kerajaan campuran hari ini adalah kegagalan mutlak kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH), bukannya disebabkan oleh mana-mana pihak luar.

- Advertisement -

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kenyataan terbaru Anwar yang mendakwa reformasi tidak dapat dilaksanakan kerana perlu menunggu pihak lain bersama adalah satu alasan memperlekehkan intelek rakyat.

“Dia cuba mengalih perhatian daripada kegagalan sebenar. Siapa pihak lain yang dipersalahkan Anwar sebagai pihak yang belum bersama dan melambatkan agenda reformasi? Umno? Barisan Nasional (BN)? Penjawat Awam?

“Hakikat yang Anwar sengaja sembunyikan dan nafikan adalah reformasi bukan tentang tunggu lampu hijau. Reformasi adalah soal prinsip dan keberanian politik, bukan konsensus palsu dalam gabungan yang longgar.

“Jika benar reformasi itu tulen, ia mesti dilakukan walau berisiko politik, bukan ditangguh dengan alasan bahawa ada pihak lain dalam kerajaan yang perlu bersetuju,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan ini bukan dipaksa untuk bergabung dengan Umno atau Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau GPS.

“Gabungan ini dibentuk atas pilihan sendiri, maka segala kompromi terhadap prinsip juga adalah pilihan sendiri. Bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak banyak melaksanakan agenda transformasi iaitu kerajaan, ekonomi, politik dan cukai tanpa perlu beri alasan menunggu pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, semua keputusan utama yang melemahkan semangat reformasi datang daripada kepimpinan Anwar dan komponen utama PH sendiri, bukan dipaksa oleh pihak lain.

“Zahid Hamidi pada Oktober lalu, 47 pertuduhan rasuah dan kes pelaksanaan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dilantik sebagai TPM oleh Anwar bukan kehendak rakyat, perintah mahkamah atau titah Yang di-Pertuan Agong.

“Pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap Zahid berlaku di bawah kerajaan Anwar yang diberikan melalui Peguam Negara lantikan kerajaan Anwar.

“Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang mempunyai isu integriti, dikekal mengetuai SPRM bertahun-tahun. Ini di bawah cadangan PM10 dan lantikan kerajaan campuran PH-BN

“Lantikan anak, kroni dan lantikan politik ke dalam syarikat milik kerajaan (GOC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan dilakukan oleh Anwar dan kerajaan campuran PH-BN sendiri.

“Kegagalan menunaikan janji manifesto dan memberikan peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen Pembangkang adalah keputusan Anwar dan kabinet Anwar sendiri.

“Negeri pembangkang boleh sahaja memberi peruntukan sama rata tanpa perlu syarat-syarat yang pelik dan memorandum persefahaman (MoU),” katanya.

Beliau berkata, tindakan menyekat media, akaun pengkritik kerajaan, menunggang akta drakonian seperti Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
adalah aamalan yang berlaku secara langsung di bawah pentadbiran Anwar.

“Tiada reformasi institusi sebenar dari pelantikan Peguam Negara, Ketua Polis Negara, SPRM dan SPR, semua masih berlaku mengikut cara politik lama. Kehidupan mewah dan budaya lama, siapa yang ikut jejak siapa?

“PH pernah menggelar pemimpin dahulu sebagai ‘perompak’ dan ‘penyamun’, tetapi dalam masa tidak sampai dua tahun menjadi kerajaan.. kehidupan mewah, rumah bernilai jutaan ringgit, konvoi besar dan gaya hidup elit mula dikaitkan pula dengan pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan PH dan pegawai-pegawai mereka sendiri.

“Jika dahulu rakyat marah kerana rasuah dan pembaziran, kini rakyat marah kerana pengkhianatan prinsip dan pemimpin PKR, DAPdan PH cakap tak serupa bikin,” katanya.

Tun Faisal berkata, PH berjanji untuk membawa perubahan sistemik, keadilan sosial dan ketelusan, namun apa yang lihat hari ini adalah pentadbiran lebih autokratik dan lebih teruk daripada pentadbiran PM dan kerajaan sebelum ini.

“Kegagalan reformasi hari ini bukan berpunca daripada mana-mana parti luar. Ia adalah akibat langsung daripada keputusan dan pendirian politik Anwar Ibrahim, PKR, DAP dan seluruh kepimpinan Pakatan Harapan.

“Menjadikan pihak lain sebagai alasan adalah taktik mengalihkan kesalahan, sedang hakikatnya, mereka yang memegang kuasa dan mereka juga yang memilih untuk tidak berubah,” katanya.

Terdahulu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata kegagalan Kerajaan Madani menunaikan janji-janji pilihan raya merupakan satu pengajaran jelas bahawa membuat janji adalah mudah, tetapi melaksanakannya memerlukan kejujuran dan kesungguhan.

Khairul Faizi berkata, kenyataan Anwar sendiri yang mengakui bukan mudah untuk melaksanakan segala dihajati membuktikan betapa janji pernah diuar-uarkan sebelum ini sebenarnya tidak berpijak di bumi nyata.

Sebelum itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, turut mengakui bahawa agenda reformasi perlu mengambil masa dan memerlukan sokongan daripada gabungan PH kerana menurutnya tidak mempunyai majoriti mudah di Parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang baru-baru ini mengumumkan percutian dua minggu di Perancis telah menyatakan hasratnya untuk kembali merenung masa depan politik ini.

“Begitu banyak masa (15 tahun) dan usaha telah dicurahkan untuk sampai ke tampuk kuasa, namun saya tidak dapat menafikan rasa bimbang yang mendalam kerana pencapaian reformasi masih begitu sedikit.

“Saya percaya kita mampu mencapai lebih banyak reformasi, dan satu-satunya cara untuk mencapainya adalah kita, para Ahli Parlimen, mesti lebih berani mendesak kerajaan dari barisan belakang,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025

- Advertisement -