
IPOH: Seramai 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dua pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di Gerik kelmarin menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor, hari ini.
Ziarah prihatin itu melibatkan lawatan ke Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi memberikan kata-kata semangat kepada mangsa-mangsa yang masih menerima rawatan.
Pada masa sama, beliau turut menghulurkan sumbangan kepada semua terbabit yang masih dirawat di hospital di mana mangsa pada awalnya dirawat di Hospital Gerik, telah dipindahkan ke dua hospital berkenaan semalam.
Dr Riduan dalam kunjungan tersebut turut memaklumkan bahawa beberapa mangsa telahpun dibenarkan pulang, manakala sebahagian lagi masih dipantau pihak perubatan dan ada juga yang perlu menjalani pembedahan.
“Sayu hati melihat keadaan adik-adik kita yang sedang berjuang pulih dari kecederaan. Doakan mereka semua sembuh dengan sempurna,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa penyelarasan dengan pihak peguam telah dibuat bagi membantu semua mangsa dari segi kebajikan dan keperluan dari segi undang-undang.
“Kepada semua adik-adik, tumpukan kepada pemulihan diri dan teruskan belajar sehingga berjaya. Ribuan orang di belakang adik-adik yang sentiasa mendoakan dan menyokong perjuangan kalian untuk menggapai cita-cita,” pesan beliau lagi.
Dr Riduan turut menjunjung kasih kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas keprihatinan baginda terhadap insiden yang menimpa pelajar dari Besut, Terengganu.
“Junjung kasih Tuanku. Kami warga Besut sangat menghargai kasih sayang Tuanku kepada anak-anak dari daerah kami yang sedang diuji.
“Rakyat Tuanku juga baik-baik belaka dan sangat berempati, mereka berdiri di tepi jalan memberikan penghormatan kepada konvoi van jenazah yang membawa pulang jenazah ke Besut – daerah agrarian yang kami cintai,” ujarnya.
Katanya, demi rakyat, Paduka Seri Tuanku Nazrin Shah turun, tiada sempadan protokol untuk rakyat marhaen melepaskan hiba mereka dan memberikan bahu untuk menampung sebahagian rasa kesedihan ini.
Kemalangan tragis yang berlaku di Gerik itu mengundang simpati seluruh negara, dan pelbagai usaha sedang digerakkan bagi memastikan semua mangsa menerima perhatian serta sokongan sewajarnya daripada pelbagai pihak. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











