
ANAK-anak muda cerdas dengan guratan wajah yang jernih itu berpapasan dengan keluarga masing-masing di dataran lapang Masjid Hadhari, Jerteh. Tawa senda mengiringi perpisahan dalam euforia gembira. Suasana riang bagi anak-anak kampus pendidikan itu turut dimeriahkan oleh latar Hari Raya Korban yang memang disambut meriah di daerah agraria ini yang berjiran dengan Kelantan.
Secara purata, mereka berusia di awal 20-an, dengan semangat membuncah dan menggebu untuk meraih prestasi akademik sebaik mungkin. Meninggalkan seketika keluarga tersayang di desa tidaklah sesayu generasi cendekia Besut dekad 1950-an dan 60-an. Ketika itu, guru-guru pelatih di Maktab Perguruan Tanjung Malim yang berasal dari daerah ini akan ke Kelantan terlebih dahulu untuk menaiki kereta api—mereka adalah harapan keluarga dan masyarakat.
Daerah Besut pada dasawarsa 60-an dan 70-an mengangkat golongan pendidik sebagai pemimpin masyarakat, bahkan dilantik menjadi anggota legislatif daerah ini. Kelompok guru inilah yang membangunkan masyarakat, menjadi agen reformasi sosial, menyental keluar anak-anak miskin daripada lingkaran ganas kemiskinan. Yang paling penting, mereka menjadi harapan agama untuk mengubah kejahilan masyarakat yang masih pekat bersalut amalan animisme seperti main puteri, jamu acok, bertetak, serta pelbagai permainan tradisional berunsur judi dan khurafat.
Mahasiswa dan mahasiswi kampus pendidikan UPSI ini juga membawa harapan yang sama kepada keluarga dan masyarakat setempat. Besut tersohor di negeri Terengganu melahirkan ilmuwan dan kelompok intelegensia kelas menengah atas negara ini. Keropok dan budu turut membekalkan protein kepada anak-anak Besut.
Lebih 40 orang berada dalam bas yang mereka sewa untuk memudahkan perjalanan pulang ke Besut dan kembali semula ke daerah pemukiman ilmu di Tanjung Malim. Tradisi menyewa bas untuk pulang ke kampung ini telah popular sejak dekad 80-an bagi anak-anak Besut yang belajar jauh ke luar daerah. Jangan kata belajar di Kuala Lumpur atau kota lain, dekad 1980-an pun, pelajar yang mahu pulang ke Besut dari Kuala Terengganu sudah biasa menyewa bas sempena perayaan.
Matlamatnya baik—memudahkan pergerakan terutama pelajar perempuan, terasa lebih selamat kerana saling mengenali. Biasanya persatuan pelajar menganjurkan program pulang ke kampung ini, sekali gus melatih kepimpinan anak muda untuk berorganisasi serta mengeratkan ukhuwwah sesama ahli.
Tragedi kemalangan jalan raya yang menimpa mahasiswa UPSI menyeruak terlalu banyak tabir hitam putih kepada tanah watan ini. Ia bukan sekadar kematian pahlawan muda bangsa, namun menghidupkan hati yang kontang.
Seramai 42 orang pelajar berada dalam bas, dan mereka berlepas dari hadapan Masjid Hadhari, Jerteh. Tiada siapa menyangka itu adalah perpisahan terakhir. Ada ibu bapa yang membekalkan makanan untuk anak-anak tercinta—bukan sekadar bingkisan nasihat, tetapi ketupat, lemang, daging serunding khas Besut. Euforia ceria menutup kisah lambaian terakhir ibu bapa dan keluarga pelajar UPSI. Bandar Jerteh menjadi saksi bisu kepada puluhan ribu mahasiswa sejak dekad 70-an yang berpapasan dengan keluarga sebelum menaiki bas pulang ke pusat pengajian masing-masing.
Bas berdesut membelah kegelapan malam, melalui jalan yang sibuk meredah bumi Kelantan yang saban tahun menyambut Aidiladha dengan meriah. Bertali arus kenderaan melalui Jalan Raya Timur-Barat yang naif dari segi penyelenggaraan. Khabarnya telah mendapat peruntukan sejak 2023, namun tanda amaran lemah, banyak kawasan tiada garisan tengah, gelap tanpa pencahayaan, dan pelbagai kelemahan. Jangan bandingkan dengan mutu jalan raya di negara Eropah—dengan Thailand, negara jiran kita pun kita jauh tertinggal.
Jam 1.30 pagi, pahatan takdir tercatat. Kemalangan ngeri berlaku dalam arah menuruni bukit sebelum Tasik Banding. Suara kesakitan dan erangan dalam kegelapan malam itu akan terus menghantui anak-anak muda yang masih dipanjangkan umur oleh Allah.
Penulis tersedar jam lima pagi membaca kegemparan dalam pelbagai grup _WhatsApp_. Aroma kesedihan tidak tergambar bagi ibu bapa anak-anak muda cerdas ini. Relawan-relawan Besut yang diketuai oleh Gaung Amal pada jam 10.00 pagi bergerak ke Hospital Daerah Gerik dengan iringan polis daerah Besut untuk mengambil jenazah. Ada juga kenderaan jenazah ke Hospital Tuanku Bainun, Ipoh untuk tujuan yang sama. Segalanya berjalan lancar dengan bantuan pihak keselamatan.
Rakyat Besut sejak jam 8.00 malam telah berhimpun di persekitaran Masjid Hadhari, semuanya dengan semangat untuk memberikan penghormatan terakhir kepada putera-puteri bangsa yang terkorban. Anggota Jabatan Amal Besut mengawal lalu lintas dan perjalanan program. Pimpinan negeri turut hadir bersama rakyat tempatan, menunggu ketibaan konvoi van jenazah pada jam 2.50 pagi. Dingin pagi yang mengharukan, dengan lebih tiga ribu orang menyolatkan jenazah dipimpin oleh Exco Kerajaan Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Solat jenazah pertama telah diadakan di Bilik Pengurusan Jenazah Hospital Gerik, dipimpin oleh Dato’ Ustaz Idris Haji Ahmad, mantan Menteri Agama.
Acara persemadian anak-anak muda ini juga mengheret emosi. Air mata yang mengalir bukan kerana tidak reda dengan takdir, tetapi itulah sketsa fitrah sebuah kehilangan. Bukan sahaja ditangisi keluarga, tetapi juga jutaan rakyat negara ini. Dalam kalangan yang terkorban, terdapat penghafaz 30 juzuk al-Quran seperti adik Muhammad Adib Hazim, dikenali sebagai anak muda yang taat beragama oleh masyarakat dan rakan sekampus.
Paling viral ialah adik Nurly Shahirah Azman—bukan sekadar hafizah, malah jasadnya memeluk erat al-Quran semasa kemalangan. Shahirah menulis al-Quran (tahriri) dan sangat obses dengan apa sahaja berkaitan Kalam Allah itu.
Tragedi Gerik memahat luka sejarah—dengan seribu ingatan kepada kita semua bahawa kematian tidak mengenal usia. Ceria sesaat, takdir menyapa dan segalanya menjadi linangan air mata.
Juga, lihatlah layanan politik sang penguasa. Sepatutnya cukai yang dikutip diagihkan secara adil untuk kemudahan rakyat. Jalan Raya Timur-Barat yang dahulu dirintis di era ancaman komunis, kini masih terus meratah nyawa rakyat seperti denai babi dengan seribu satu perangkap. Kepada sang penguasa yang dungu, lihatlah derita ini. Jangan tunggu keluargamu sendiri menggeletar nyawa di atas aspal ‘cap ayam’ ini, barulah mahu bertindak!
Sejujurnya, pembangunan wilayah kita sangat tempang. Pulau Pinang diberi RM17.3 bilion untuk prasarana, namun akses ke Kelantan terus disepikan walaupun diumumkan sejak 2023. Ternyata pemimpin negara kita adalah jaguh podium yang mengecewakan rakyat!
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
ADUN Jerteh – HARAKAHDAILY 11/6/2025











