PAS rakam tahniah pelantikan Presiden, Ketua Syura PKS

Almuzzammil (kiri) dan Mohamad Sohibul
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Almuzzammil Yusuf atas pelantikan beliau sebagai Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) bagi sesi 2025–2030.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut merakamkan ucapan itu kepada Dr Mohamad Sohibul Iman atas pelantikan semula sebagai Ketua Majelis Syura PKS bagi tempoh yang sama.

Menurutnya, PAS yakin bahawa dengan kepimpinan berwibawa, berpengalaman serta komited terhadap perjuangan Islam dan pembelaan rakyat, PKS akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh demokrasi.

“(Juga) memperjuangkan keadilan sosial dan membina kekuatan ummah di bumi Indonesia,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan, pada petang ini.

Katanya, hubungan erat antara PAS dan PKS yang telah lama terjalin atas dasar ukhuwah Islamiyah, perjuangan dakwah dan siasah berteraskan nilai-nilai Islam akan terus diperkukuh.

“Demi menghadapi cabaran globalisasi serta memartabatkan suara umat Islam di rantau Asia Tenggara dan dunia amnya,” ujar Tuan Guru yang sebelum ini turut pernah memegang jawatan sebagai Naib Ketua Ulama Islam Sedunia.

PAS ucap beliau, mendoakan agar kedua-dua tokoh ini, bersama seluruh kepimpinan dan anggota PKS, terus dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan keberkatan dalam memimpin gerakan Islam di Indonesia.

“Semoga perjuangan ini menjadi saham amal soleh yang membawa kejayaan dunia dan akhirat,” ucapnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -