
LIPIS: Isu ketiadaan van ambulans di Klinik Kesihatan Kampung Mela, di sini telah berlarutan lebih 10 tahun terus menjadi keluhan penduduk setempat yang menuntut penyelesaian segera daripada pihak berkuasa.
Klinik itu kini beroperasi tanpa kemudahan ambulans sendiri, menyebabkan pesakit termasuk mangsa kemalangan, serangan jantung dan ibu bersalin terpaksa menunggu ambulans dari Hospital Kuala Lipis.
Memandangkan hospital itu terletak lebih 40 kilometer dari kampung berkenaan, keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan serius, terutama dalam situasi kecemasan.
Sudah tentu keadaan tersebut amat memungkinkan situasi buruk termasuk kemungkinan yang boleh meragut nyawa akibat kelewatan mendapatkan rawatan awal.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu tersebut telah beberapa kali dibangkitkan di Sidang Dewan Negeri Pahang untuk mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya sudah berbincang terus dengan Pengarah Hospital Kuala Lipis untuk mencari penyelesaian sementara dan jangka panjang.
“Surat rasmi juga telah dihantar kepada KKM bagi memohon penyediaan van ambulans baharu atau memulangkan semula ambulans untuk kegunaan klinik,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi penduduk setempat, isu itu bukan sahaja menyulitkan mereka, malah memberi tekanan setiap kali berlaku kecemasan.
“Penduduk setempat berharap agar isu ini tidak terus dipandang sepi dan menuntut tindakan segera demi kesejahteraan serta keselamatan komuniti kampung yang semakin membangun dari segi kepadatan penduduk serta keperluan perkhidmatan kesihatan lebih efisien.
“Dengan adanya campur tangan wakil rakyat dan perhatian pihak media, diharap pihak kementerian dapat memberi maklum balas positif dalam masa terdekat bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik di kawasan luar bandar seperti Kampung Mela,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











