
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan bantuan kepada 15 keluarga mangsa terkorban dalam tragedi kemalangan bas membabitkan penuntut UPSI di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak 9 Jun lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu adalah tanda keprihatinan dan solidariti kerajaan negeri terhadap keluarga mangsa yang sedang berdepan ujian berat akibat tragedi tersebut.
“Kerajaan Negeri Terengganu melahirkan rasa dukacita yang amat mendalam terhadap tragedi kemalangan bas yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, baru-baru ini.
“Kejadian yang meragut 15 nyawa serta mencederakan ramai pelajar lain amat menyentuh hati seluruh rakyat, khususnya di Terengganu,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Kerajaan Negeri beritahunya, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertarikh 11 Jun 2025 bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada semua mangsa yang terlibat sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap keluarga ditimpa musibah.
“Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kewangan secara ‘one-off’ keseluruhan sebanyak RM3,000 kepada 15 buah keluarga mangsa kemalangan yang telah meninggal dunia, di mana sejumlah RM1,000 telah diberikan kepada keluarga mangsa baru-baru ini,” katanya.
Menurut beliau, bantuan kebajikan one-off sebanyak RM1,000 juga akan diberikan kepada 33 pelajar yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
“Pihak kerajaan negeri sangat terkesan dengan tragedi ini dan komited untuk membantu sebaik mungkin. Kerajaan negeri juga memohon seluruh rakyat Terengganu agar terus mendoakan kesejahteraan mangsa yang terlibat.
“Semoga keluarga mereka diberi ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025




















