
PARIT: Kerajaan Pusat digesa agar segera melaksanakan penambahbaikan secara menyeluruh dan jangka panjang terhadap aspek keselamatan di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB).
Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib mendesak demikian susulan tragedi kemalangan bas meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun kelmarin.
“Penambahbaikan itu harus melibatkan penaiktarafan infrastruktur fizikal seperti pelebaran jalan, pemasangan lampu jalan di kawasan kritikal, penghadang keselamatan, serta sistem amaran cerun.
“Selain itu, sistem penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan termasuk pemasangan kamera AES dan pemantauan kenderaan berat,” tegasnya.
Beliau turut mencadangkan agar garis panduan keselamatan lebih ketat diwajibkan bagi pengangkutan pelajar institusi pengajian tinggi, selain pelaksanaan kempen kesedaran pemanduan berhemah secara berterusan terutamanya semasa musim cuti dan perayaan.
Dalam masa sama, Ustaz Ismi mendesak agar Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperincikan pelan tindakan khas bagi memastikan keselamatan laluan JRTB.
Menurut beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Parit, JRTB merupakan nadi utama penghubung antara Pantai Timur dan Utara Perak itu perlu dijamin keselamatannya.
Beliau turut mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen turun padang untuk menyemak dasar serta tahap keselamatan lebuh raya berprofil tinggi di seluruh negara.
“Keselamatan rakyat di jalan raya tidak boleh disandarkan kepada takdir semata-mata. Ia merupakan amanah dan tanggungjawab Kerajaan yang mesti dilaksanakan dengan penuh iltizam serta kesungguhan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











