
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyarankan supaya audit keselamatan jalan raya diperluas, khususnya di lokasi kemalangan kerap berlaku, susulan nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu segera melakukan audit keselamatan bagi mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan.
“Saya rasa ia memerlukan penguatkuasaan di peringkat kementerian yang wajar diambil lebih serius, terutama sekali di jalan raya pada titik-titik panas yang tertentu.
“Mungkin perlu dilihat, bukan berlaku kemalangan, barulah kita nak tengok nak sediakan lampu, label-label atau penghadang jalan yang agak berbahaya. Saya rasa daripada sekarang ini kena dibuat audit kepada semua perkara ini.
“Kalau tidak boleh dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan di bawah kementerian yang berkenaan untuk melakukan penambahbaikan sekali gus, secara berfasa pun tidak mengapa, tapi fokus dahulu kepada titik-titik panas, iaitu kawasan yang pernah berlaku kemalangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Yang DiPertua dan Ahli-Ahli Majlis Pengakap Negeri Terengganu serta Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh.
Mengulas cadangan untuk mengelakkan perjalanan pelajar pada waktu malam, Ahmad Samsuri berkata langkah tersebut bukanlah satu-satunya penyelesaian.
“Pelbagai faktor perlu diambil kira. Struktur jalan raya, kualiti bas dan keadaan pemandu lebih penting. Tidak kira siang atau malam,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kemaman.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memaklumkan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.
“Hari ni kita ada bincang di peringkat majlis mesyuarat kerajaan negeri dan akan ada bantuan diberikan kepada mangsa terlibat dan saya akan sampaikan sendiri pada minggu hadapan.
“Saya akan bertemu dengan kesemua keluarga mangsa berkenaan, bagaimanapun tentang jumlah itu saya rasa kena tunggu, kita akan buat kenyataan rasmi supaya tidak ada berlaku kekeliruan,” katanya.
Menurut beliau yang juga ADUN Rhu Rendang, kerajaan negeri juga akan menanggung kos rawatan penuh mangsa yang cedera parah serta menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga terkesan.
“Ia akan diuruskan oleh kerajaan negeri, semua dalam proses. Peranan komuniti setempat melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga sangat penting bagi memberikan sokongan moral kepada keluarga yang terkesan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











