Peminjam PTPTN kecewa dengan janji Anwar Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjanji memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi sebab sebahagian peminjam tidak membayar baki hutang mereka.

- Advertisement -

Pengarah Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, rakannya yang enggan membayar pinjaman PTPTN selama bertahun-tahun akhirnya akur bahawa hutang perlu dilunaskan walaupun janji pemansuhan tidak pernah ditunaikan.

“Ini kisah benar. Ada seorang sahabat dunia akhirat saya, dia dulu tak mahu bayar sebab pegang pada janji Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (terdahulu) nak mansuh PTPTN. Tapi bila saya nasihat hutang wajib dibayar, dia tetap berkeras.

“Bila Pakatan Harapan (PH) menang pun, tak mansuh juga. Akhirnya dia kata, kalau tunggu janji tu, sampai kiamat pun tak berlaku,” katanya menerusi satu coretan di Facebook beliau, hari ini.

Yusfarizal, yang telah membayar pinjamannya lebih awal, menekankan bahawa tindakan itu dilakukan atas dasar keberkatan dan tanggungjawab.

“Masa majikan beri bonus, saya terus bayar PTPTN. Takut rezeki tak berkat,” jelas beliau yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang.

Terdahulu, seramai 400,000 peminjam PTPTN tidak pernah membayar langsung hutang pinjaman itu dan kini nilai tunggakan sudah mencecah RM5 bilion membabitkan peminjam yang sudah menamatkan pengajian 10 tahun lalu ke atas.

Sebelum itu, Anwar ketika berada di saf pembangkang menyeru kepada golongan peminjam supaya tidak membuat bayaran kepada PTPTN dalam satu ceramah di kawasan parlimennya, Permatang Pauh.

Anwar berkata, Pakatan Rakyat akan memansuhkan PTPTN dalam tempoh setahun sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun tersebut iaitu 2012 dan jika Pakatan berjaya menawan Putrajaya.

Namun, sehingga kini menjelang tiga tahun pemerintahannya, janji mengenai pemansuhan bukan sahaja tidak ditunaikan, malah hutang para peminjam sedang didesak untuk dilunaskan segera. – HARAKAHDAILY 11/6/2025

- Advertisement -