
KUALA TERENGGANU: Kerajaan digesa mempertimbangkan penggunaan teknologi Vehicle Data Recorder (VDR) atau Event Data Recorder (EDR) pada kenderaan darat seperti bas dan lori bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, teknologi kotak hitam yang digunakan secara meluas dalam industri penerbangan itu berupaya merekodkan pelbagai maklumat penting.
Termasuk menurutnya, kelajuan kenderaan, pembrekan mendadak, impak perlanggaran, perubahan arah secara tiba-tiba, lokasi GPS, laluan perjalanan serta jam kerja dan waktu rehat pemandu.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, sekiranya disambung dengan kamera ‘dashcam’, ia turut mampu merekodkan rakaman video perjalanan sebagai maklumat penting.
“Teknologi kotak hitam untuk bas memang wujud dan sedang digunakan di beberapa negara, termasuk Malaysia dalam skop terhad. Sama seperti pesawat, kotak hitam dalam kenderaan adalah alat elektronik yang merekodkan pelbagai maklumat teknikal,” katanya.
Sebelum ini kata beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pernah mencadangkan penggunaan sistem pemantauan pemandu dikenali sebagai Driver Behavioural Monitoring System (DBMS) atau Fleet Telematics.
Kementerian Pengangkutan juga ujar beliau, pernah mengemukakan cadangan untuk mewajibkan pemasangan VDR pada semua bas ekspres, khususnya susulan beberapa insiden kemalangan maut.
“RapidKL dan beberapa operator bas ekspres sudah menggunakan sistem VDR, telematik terbina untuk pengesanan lokasi dan pemantauan pemanduan,” katanya yang juga Ketua Portfolio Sains Teknologi dan Inovasi Perikatan Nasional (PN) mengemukakan beberapa contoh.
Menurut Amzad, penggunaan kotak hitam itu akan memudahkan siasatan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan, selain membantu syarikat pengangkutan memantau prestasi pemandu bagi tindakan disiplin atau latihan semula.
“Lebih penting, ia juga dapat mengurangkan kecuaian atau kelakuan tidak bertanggungjawab pemandu, sekali gus meningkatkan keselamatan penumpang. Malah, syarikat yang menggunakan sistem ini biasanya menerima diskaun premium insurans,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi, termasuk kos pemasangan antara RM1,000 hingga RM5,000 bagi setiap unit bergantung pada jenis sistem.
Selain itu katanya, ketiadaan penguatkuasaan mandatori dan isu kebimbangan privasi pemandu turut menjadi halangan kepada pelaksanaan menyeluruh.
Dalam pada itu beliau berkata, keselamatan jalan raya bukan hanya bergantung kepada kenderaan semata-mata, tetapi kualiti jalan juga perlu dipastikan termasuk sistem penghadang jalan jenis besi yang ada sekarang dilihat sangat tidak sesuai.
“(Ia) menjadi bahaya kepada pengguna jalan raya yang kemalangan. Teknologi baru yang lebih selamat perlu diperkenalkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











