
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri terus melangkah ke hadapan dalam memperkasakan sukan digital dengan menganjurkan Kejohanan Kedah E-Sport Challenge 2.0 tahun 2025.
Penganjuran itu sebagai usaha membina masa depan belia menerusi platform teknologi dan sukan moden.Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejohanan itu bukan sekadar memenuhi minat anak muda terhadap Sukan Elektronik (e-sukan).
Malah ujarnya, berperanan penting dalam mencungkil serta mengasah bakat baru yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat nasional seperti Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) dan lain-lain.
Beliau juga menegaskan, perkembangan teknologi telah banyak mengubah gaya hidup masyarakat, justeru penganjuran ini juga untuk menggalakkan penyertaan belia dalam sukan digital.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, kini e-sukan semakin diiktiraf sebagai salah satu cabang sukan berimpak tinggi.
“Kerajaan negeri menyambut perubahan ini dan kejohanan ini menjadi landasan bagi mendidik belia agar menyertai aktiviti yang berfaedah dan berorientasikan masa depan.
“Kita mahu e-sukan ini dimanfaatkan secara positif, selari dengan dasar pembangunan digital negara,”ujarnya ketika merasmikan kejohanan tersebut di Dewan Seri Mentaloon, di sini semalam.

Dalam pada yang sama, Sanusi turut menggalak serta mengajak ibu bapa untuk lebih terbuka terhadap minat anak-anak dalam dunia permainan digital.
Namun minat tersebut, katanya perlu dipantau melalui bimbingan ibu bapa, agar tidak leka sehingga mengabaikan kesihatan, pelajaran, nilai agama dan tanggungjawab sosial.
“Kita tidak boleh menolak hakikat bahawa permainan boleh melalaikan jika tidak dikawal. Namun, dengan pemantauan dan galakan yang betul, ia boleh menjadi saluran membina kerjaya dan masa depan,” tambahnya lagi.
Oleh itu ujar beliau, semua pihak wajar membantu memastikan anak-anak muda serta belia khususnya di Kedah, tidak terjerumus atau leka dengan perkara negatif sehingga memusnahkan masa depan mereka sendiri.
“Generasi muda merupakan aset penting dalam pembangunan negara dan negeri, apatah lagi untuk menjayakan wawasan ‘The Greater Kedah’,” kata beliau lagi.
Kejohanan Kedah E-Sport Challenge 2.0, itu disertai seramai 1,100 peserta dari seluruh Kedah.
Selain dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pengguna, Kos dan Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din, ia juga turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar dan ADUN Derga, Muhamad Amri Wahab. – HARAKAHDAILY 3/6/2025




















