
KOTA BHARU: Permainan catur bukan sahaja mengasah keupayaan minda dan strategi, malah menjadi medium untuk memperkukuh ukhuwah serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) Negeri Kelantan, Muhammad Firdaus Mohamed Nawi berkata, catur merupakan seni berfikir yang menggabungkan perancangan, kawalan emosi dan disiplin dalam membuat keputusan.
“Catur bukan sekadar permainan. Ia mengajar kita menilai risiko, menerima kekalahan dengan berlapang dada, dan berfikir secara sistematik.
“Dalam erti kata lain, ia mendidik akal dan akhlak secara serentak,” katanya yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Beliau berkata demikian semasa Pertandingan Catur Terbuka Kelantan bagi merebut Piala Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat yang berlangsung di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK) semalam.
Kejohanan itu merupakan hasil kerjasama antara U-BeS dan Kelab Smart Pawn Legacy dengan penyertaan kelab catur dari seluruh negeri dan luar Kelantan.

Firdaus turut menyentuh isu kesihatan mental yang kian meningkat terutama dalam kalangan belia.
Menurutnya, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2023, satu daripada empat rakyat Malaysia mengalami gangguan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.
“Sukan seperti catur memberi ruang untuk melatih fokus, mengawal tekanan dan menyihatkan minda. Ia wajar dimanfaatkan sebagai salah satu bentuk terapi mental secara semula jadi,” ujarnya lagi.
Menurutnya, kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang membuktikan semangat kesukanan dan kecintaan terhadap sukan catur masih subur dalam masyarakat.
Firdaus turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk pengadil, urus setia, sukarelawan dan pihak penganjur yang telah bertungkus-lumus menjayakan program itu dengan penuh dedikasi. – HARAKAHDAILY 3/6/2025




















