
KUALA LUMPUR: Sekretariat Melayu Berdaulat telah merangka pelbagai inisiatif lanjutan yang memberi tumpuan kepada isu-isu melibatkan kepentingan umat Melayu dan Islam, susulan himpunan 24 Mei lalu.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali berkata, pihak sekretariat berpuas hati dengan kejayaan perhimpunan itu meskipun jumlah kehadiran tidak mencapai sasaran awal.
“Kami setuju bahawa perhimpunan itu kami dah anggap amat berjaya, kehadiran pun memuaskan walaupun sasaran awal adalah 10,000 hingga 15,000 orang, namun anggaran kehadiran sekitar 5,000 hingga 6,000 tetap menunjukkan sambutan yang sangat memuaskan.
“Kehadiran pun ramai juga cuma tak dapat ditunjukkan sebab yang hadir tidak dapat berhimpun di tengah jalan raya. Jadi ramai berada di lorong dan di depan dataran. Namun kami dapat maklum balas daripada pelbagai pihak dan mengucapkan tahniah.
“Mereka dapat melihat video-video yang tular dan menggambarkan supaya perhimpunan ini diteruskan di peringkat negeri,” katanya dalam sidang media bagi ‘post mortem’ Himpunan Melayu Berdaulat di Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masridzi Sat dan Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan.
Juga, Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman dan Timbalan Pengerusi Ummah, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff serta Pengerusi Gabungan Gerak Rakyat (GERAHAM), Nor Hakimi Abdul Halim.
Syed Hasan berkata, maklum balas positif yang diterima daripada pelbagai pihak mendorong sekretariat untuk merancang siri program susulan di seluruh negara.
Antaranya kata beliau, dalam bentuk forum, meja bulat dan program kecil yang membincangkan isu semasa yang memberi kesan kepada masyarakat Melayu.
“Kita juga akan mengadakan program yang besar selepas kita mengumpul pelbagai keputusan-keputusan daripada program-program kecil.
“Kami juga tadi bersetuju untuk mengadakan satu program Insya-Allah untuk satu perjumpaan lagi besar di kalangan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam yang jumlahnya akan kita sasarkan lebih daripada 200 hingga 300 perjumpaan,” katanya.
Justeru, pihaknya bercadang menganjurkan satu perjumpaan besar membabitkan pemimpin-pemimpin NGO Melayu dan Islam pada 15 Jun ini yang akan berlangsung di Kem PERKID Malaysia, Hulu Langat, Selangor. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











