41 warga MPKB-BRI diiktiraf, terima APC 2024

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 41 warga Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dari pelbagai jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 sebagai pengiktirafan atas perkhidmatan cemerlang dan berkualiti yang telah mereka berikan.

- Advertisement -

Anugerah tersebut merupakan manifestasi keprihatinan pihak pentadbiran MPKB-BRI terhadap modal insan yang berkualiti, dinamik serta berprestasi tinggi dalam mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berharap penerima anugerah dapat mengekalkan momentum kecemerlangan masing-masing dalam melaksanakan tugas.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada 41 warga MPKB-BRI yang diraikan dan diharapkan pengiktirafan ini dapat menyuntik semangat kepada 818 orang lagi warga MPKB-BRI untuk terus berdedikasi dan berilmu dalam menjalankan tugas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan di Dewan Jubli Perak Kota Bharu, di sini kelmarin.

ADUN Guchil itu turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Mekanikal dan semua yang terlibat dalam Inovasi MALA 3.0 Piala Menteri KPKT dan telah memenangi tempat ke-10 daripada 30 penyertaan.

Katanya, kemenangan ini memberi motivasi tinggi kepada seluruh pegawai dan kakitangan MPKB-BRI dalam mencapai visi dan misi organisasi.

“Kecemerlangan sesebuah organisasi terletak kepada jentera pengurusan yang berwawasan dan pegawai serta kakitangan yang mengamalkan budaya kerja cemerlang.

“Budaya ini menjadi asas penting kepada peningkatan kualiti dan produktiviti organisasi, terutama dalam era cabaran ekonomi yang tidak menentu,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru seluruh warganya untuk berusaha mengurangkan ketirisan kewangan serta meningkatkan kutipan hasil melalui perbelanjaan berhemah dan kerja berintegriti.

Majlis ini turut meraikan kejayaan MPKB-BRI sepanjang tahun 2024 yang telah membawa pulang pelbagai pengiktirafan dan anugerah dalam pertandingan serta program peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri serta sektor awam.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua MPKB-BRI, Azi Rahimee Mohamed. – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -