Gaya didikan lama dan kemudharatan media sosial

Mendepani sahsiah anak abad ke-21

- Advertisement -

PERUBAHAN zaman menuntut perubahan pendekatan dalam mendidik. Dalam konteks pendidikan kanak-kanak abad ke-21, pendekatan tradisional semata-mata sudah tidak lagi memadai untuk membentuk sahsiah secara berkesan. Kanak-kanak kini membesar dalam dunia digital yang pantas, terbuka, dan sarat dengan pelbagai rangsangan luar yang boleh mempengaruhi perkembangan kognitif, emosi, dan sosial mereka. Justeru, kaedah dalam membimbing, menegur dan membentuk akhlak perlu seiring dengan perubahan persekitaran dan ciri generasi ini.

- Advertisement -

Baru-baru ini, tular sebuah rakaman yang memaparkan seorang murid dimarahi guru secara terbuka, dirakam wajahnya, dan rakaman itu akhirnya tersebar ke media sosial. Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Ada yang menyokong tindakan guru, dan tidak kurang yang mempertahankan murid serta ibu bapanya. Namun, isu pokok bukan terletak pada siapa benar atau salah, tetapi pada persoalan lebih besar — bagaimana konflik pendidikan ditangani secara profesional, adil dan beretika, tanpa mengabaikan kesejahteraan emosi kanak-kanak.

Menipu itu salah, namun reaksi kita lebih meninggalkan kesan dan trauma

Dalam psikologi perkembangan, pemahaman moral kanak-kanak sekitar usia 9 tahun masih berada pada tahap awal. Kanak-kanak pada usia ini cenderung bertindak berdasarkan kesan langsung kepada diri sendiri seperti ingin mengelakkan hukuman, berbanding memahami nilai intrinsik sesuatu perbuatan. Maka, apabila seorang murid menipu, ia tidak semestinya lahir daripada niat jahat, sebaliknya mungkin berpunca daripada rasa takut, tekanan atau kekeliruan.

Dalam hal ini, peranan pendidik dan ibu bapa adalah untuk membimbing anak memahami kesan tingkah laku, bukan menghukum secara terbuka sehingga mencederakan harga diri mereka. Teguran yang memalukan, khususnya apabila dirakam tanpa kebenaran dan disebarkan kepada umum, bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, malah berpotensi menyebabkan trauma, hilang kepercayaan terhadap guru, ibu bapa dan mengganggu perkembangan emosi kanak-kanak.

Media sosial bukan medium penyelesaian masalah

Perkembangan teknologi dan akses mudah kepada media sosial menjadikan sebarang tindakan mudah dirakam dan dikongsi. Meskipun sesetengah rakaman dimaksudkan sebagai bukti atau pengajaran, namun realitinya, apabila ia tersebar di luar kawalan, ia sering menjadi medan spekulasi, kecaman, dan penghukuman awam.

Lebih membimbangkan, dalam kes melibatkan kanak-kanak, mereka menjadi mangsa dua kali — pertama, kerana kesilapan yang dilakukan, dan kedua, kerana menjadi subjek kepada penilaian masyarakat yang tidak mengenali mereka secara peribadi. Rakaman itu mungkin dilupakan masyarakat dalam tempoh singkat, namun kesannya terhadap emosi dan imej diri kanak-kanak boleh berlarutan untuk jangka masa panjang.

Tidak dinafikan, apabila sesuatu isu viral di media sosial, tindakan itu lebih cepat dan disegerakan kerana wujudnya tekanan masyarakat. Namun, saya berpandangan, media sosial masih bukan solusi terbaik untuk menyelesaikan sebarang permasalahan.

Peranan guru dan ibu bapa sebagai rakan strategik pendidikan

Pendidikan adalah usaha kolektif yang melibatkan pelbagai pihak, khususnya guru dan ibu bapa. Guru tidak sepatutnya dibiarkan memikul tanggungjawab mendidik secara bersendirian, manakala ibu bapa pula tidak wajar hanya tampil ketika berlaku konflik. Hubungan yang sihat, berteraskan kepercayaan dan komunikasi berkesan antara kedua-dua pihak perlu diwujudkan dan dipupuk secara berterusan.

Sebarang konflik yang timbul seharusnya diurus dengan pendekatan berhemah. Tindakan seperti menggantung guru, memindahkan murid atau memuat naik permohonan maaf secara terbuka di media sosial adalah bersifat reaktif, bukan transformatif. Ia mungkin kelihatan tegas, tetapi tidak menyentuh akar permasalahan, dan gagal memberi nilai didikan yang sebenar.

Keperluan penyelesaian yang bersifat restoratif dan mendidik
Sebagai langkah penambahbaikan, pendekatan restoratif wajar diberi perhatian. Dalam kes-kes tertentu, pihak berwajib seperti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) boleh memainkan peranan sebagai fasilitator yang mempertemukan semua pihak — guru, murid dan ibu bapa — dalam sesi tertutup dan profesional.

Perbincangan yang berasaskan saling mendengar dan memahami ini boleh menghasilkan keputusan bersama yang lebih berkesan. Jika wujud keperluan untuk permohonan maaf, ia sebaiknya dilakukan secara peribadi, melibatkan pihak yang berkepentingan sahaja, tanpa melibatkan khalayak yang tidak relevan, bagi mengelakkan pengulangan luka secara terbuka.

Pendekatan sebegini bukan sahaja memulihkan hubungan antara pihak terlibat, malah menjadi proses pembelajaran bermakna bahawa konflik boleh diselesaikan dengan adab, empati dan keinsafan.

Cadangan yang boleh dipertimbangkan

Bagi mengelakkan pengulangan kes seumpama ini, beberapa cadangan berikut boleh dipertimbangkan:

  1. Penggubalan garis panduan etika rakaman murid dan penggunaannya dalam konteks pendidikan perlu diperjelaskan dan diedarkan secara rasmi kepada semua warga sekolah.
  2. Latihan berkala kepada guru mengenai kemahiran kendalian emosi, komunikasi restoratif dan pendekatan berasaskan trauma (trauma-informed approach) harus dijadikan sebahagian pembangunan profesional.
  3. PPD, JPN dan pihak pentadbir sekolah perlu berperanan sebagai fasilitator penyelesaian konflik, bukan semata-mata pemberi hukuman.
  4. Pewujudan sistem sokongan psikososial di sekolah yang menyasarkan kesejahteraan murid dan guru perlu diperkukuh, terutamanya dalam kes melibatkan tekanan emosi dan isu tingkah laku.

Apa harapan yang kita mahu?

Hasrat kita dalam mendidik bukan sekadar melahirkan murid yang berdisiplin dan patuh, tetapi juga insan yang mampu berfikir secara kritis, berakhlak mulia dan yakin menyatakan kebenaran. Kita tidak mahu mereka tunduk kerana takut, tetapi patuh kerana faham dan hormat.

Untuk mencapai matlamat ini, budaya rakam dan sebar tidak sepatutnya menjadi norma dalam penyelesaian konflik pendidikan. Sebaliknya, kita perlu menanam nilai empati, membina ruang dialog yang selamat dan menggalakkan keberanian untuk menyelesaikan perbezaan secara beradab dan beretika.

Dengan itu, barulah pendidikan benar-benar menjadi wadah membina insan — bukan sekadar mengurus kesalahan.

AHMAD HAZMAN ALI
Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Insan
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
Kelantan Darul Naim – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -