
JERLUN: “InsyaAllah, kita akan usaha bantu setakat yang mampu, yang penting mak cik selamat dan banyakkan bersabar,” kata Azhar Ibrahim kepada warga emas, Saodah Ibrahim.
Kata-kata semangat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, itu sebagai memberi perangsang kepada mangsa kebakaran tersebut ktika ditemui di Kampung Lubuk Pinang, di sini semalam.
Saodah,83, ketika diziarahi beliau, kelihatan agak sugul dan bersedih berikutan kejadian kebakaran melibatkan kediamannya pada jam 11:00 malam kelmarin.
Mangsa pada malam kejadian, tiada di rumah kerana bermalam di rumah anaknya yang terletak bersebelahan rumahnya.
Anaknya, Faridah Yusuf, 43, bekerja di Puncak Alam, Selangor tetapi mempunyai kediaman sendiri di kampung, bersebelahan rumah ibunya.
Kebetulan, beliau pulang bercuti di kampung dan mengajak ibunya bermalam di rumahnya, pada malam kejadian itu.
“Alhamdulillah, Allah gerakkan hati mak cik tidur di rumah anak, sekurang-kurangnya mak cik terselamat dari kebakaran,” kata Azhar lagi.
Api bagaimanapun dapat dikawal daripada merebak dan berjaya dipadam sepenuhnya oleh pihak bomba sekitar jam 11.30 malam dengan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Pada kunjungan itu, Azhar turut menyampaikan sedikit sumbangan mewakili Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad dan pihaknya, sebagai tanda prihatin terhadap musibah menimpa.- HARAKAHDAILY 3/6/2025











