
PADANG TERAP: Mong Gajah di Tasik Pedu, antara lokasi menarik yang mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan di negeri, justeru projek peningkatan kemudahan pelancongan di kawasan berkenaan diberi perhatian, sejajar matlamat ingin dicapai.
Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, apabila projek itu siap nanti, Mong Gajah akan dilengkapi pelbagai kemudahan asas untuk menarik kunjungan pelancong dan pencinta alam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri itu dalam tinjuannya berkata, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada April 2026 dan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Secara keseluruhan, kawasan ini mempunyai keluasan 42 ekar dan buat pada masa ini baharu suku daripadanya sedang dibangunkan.
“Ini bermakna lebih banyak lagi pembangunan akan dilaksanakan di Mong Gajah pada masa hadapan,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Jelas Dato’ Salleh lagi, antara fasiliti yang bakal dibangunkan termasuklah menara tinjau, astaka serba guna, laman informasi, pelantar laluan dan tapak caravan.
Termasuk juga kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu, perkhemahan serta lain-lain fasiliti yang menyokong aktiviti pelancongan mampan.
Mengulas lanjut, beliau juga berkata, projek peningkatan kemudahan itu, tentunya memberikan lebih tarikan bukan sahaja kepada Mong Gajah, tetapi juga kepada Tasik Pedu secara keseluruhan.
Ia juga ujarnya, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menggilap semula Tasik Pedu bagi menjadikannya salah satu destinasi wajib singgah.
Iaitu jelasnya, disasarkan dalam kalangan pelawat dan pelancong terutama sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

“Kerajaan negeri konsisten dalam usahanya untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri ini, sebagaimana dihasratkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Berpegang kepada matlamat itu, kerajaan negeri akan menyokong apa sahaja usaha terutama memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan.
“Terutama dalam usaha membangunkan produk-produk berdaya maju yang mampu memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” tegas beliau lagi.
Dalam pada itu, katanya, selain Mong Gajah dan Tasik Pedu, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada beberapa destinasi lain untuk diketengah dan dimajukan.
Berikutan itu jelasnya, melalui projek dan program yang dilaksanakan, matlamat untuk memastikan setiap daerah di negeri ini mempunyai upaya menarik kehadiran pelancong dan pelawat, diharapkan mencapai kejayaan.
Inisiatif seperti itu ujar Dato’ Salleh, turut mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang menyeluruh dan berpandangan jauh dalam membangunkan destinasi pelancongan yang lestari.
“Dengan memperkasakan infrastruktur dan memelihara kelestarian alam, Mong Gajah berpotensi menjadi model rujukan bagi pembangunan pelancongan, berasaskan komuniti yang menghormati khazanah semula jadi dan budaya tempatan,” katanya lagi.
Mong Gajah yang memiliki sejarahnya tersendiri sejak puluhan tahun lalu, bukan sahaja kaya dengan nilai sejarahnya, sebaliknya memiliki keindahan alam semula jadinya unik serta sukar ditemui di tempat lain.
Mong Gajah juga sesuai dijadikan destinasi pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, memancing, mendaki, dan pemerhatian bintang atau ‘stargazing’, berikutan suasana malamnya yang bebas daripada pencemaran cahaya. – HARAKAHDAILY 31/5/2025





















