
PADANG BESAR: Tiada istilah pencen dalam perjuangan Islam, itulah ungkapan penuh makna yang menjadi prinsip hidup dipegang teguh Ustazah Jemilah Lebai Jusoh, 78, mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Padang Besar.
Walaupun kini terbaring akibat serangan minor strok, semangat perjuangan tidak pernah padam dalam dirinya.
Dalam keadaan uzur sekalipun, beliau masih ingin mendengar khabar mengenai perjuangan, perkembangan PAS, dan terus menitip pesan agar Islam terus ditegakkan.
Warisan perjuangan dari ayahanda
Membesar dalam keluarga pejuang, beliau adalah anak kepada Lebai Jusoh Lebai Abdul Rahman, tokoh PAS awal Perlis yang pernah menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri.
Jiwanya sudah terbina dengan acuan perjuangan sejak usia muda, di mana sejak kecil lagi beliau sering mengikuti ayahandanya ke pelbagai program PAS.
Beliau menyaksikan sendiri secara langsung semangat jihad dan istiqamah para asatizah serta aktivis Islam dalam mendidik dan menyedarkan masyarakat.
Bersama suaminya, Allahyarham Ismail Jusoh, pasangan mujahid ini membesarkan lima orang anak dalam suasana tarbiah, sederhana dan penuh nilai perjuangan.
“Kita tak dak gaji pun, tapi Allah bagi juga gaji kat kita. Tak dak duit pun boleh pi (pergi) juga program-program PAS,” ujarnya mengimbas semangat yang tidak pernah luntur, ketika diziarahi di kediamannya di Kampung Santan, baru-baru ini.
Ikon perjuangan muslimat
Menurut Pengerusi Jabatan Penyelidikan dan Arkib Dewan Muslimat PAS Perlis, Syazwani Abu Bakar, lawatan pihaknya adalah untuk merakam sejarah perjuangan srikandi veteran ini sebagai sebahagian daripada inisiatif penulisan buku sejarah Dewan Muslimat PAS di peringkat pusat.
“Insya-Allah, kita dalam proses mendokumentasikan pengalaman tokoh-tokoh seperti Ustazah Jemilah agar generasi akan datang dapat mengambil iktibar dan meneruskan perjuangan,” katanya.
Ustazah Jemilah antara saksi penting era kebangkitan PAS Perlis, khususnya ketika Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin memenangi kerusi Parlimen Arau pada tahun 1998.
“Masa Ustaz Hashim menang tu seronok sungguh, tak lena tidur,” ujarnya dalam senyuman penuh nostalgia.
Pahit manis perjuangan
Pengalaman politiknya bukan sekadar dalam mesyuarat dan ceramah, tetapi diwarnai dengan pengorbanan dan ujian yang nyata.
Beliau pernah berjalan kaki dari rumah ke rumah untuk menyampaikan risalah dan berkempen, bahkan pernah dihambat dengan parang oleh individu yang tidak senang dengan kehadiran PAS.
Namun begitu, antara paling menyentuh perasaannya adalah apabila perjuangan dikhianati oleh orang yang pernah diangkat bersama.
“Dulu kempen sungguh-sungguh untuk Ustaz Zulkarnain, bekas ADUN Santan, tapi bila menang dia pi lari keluar PAS. Menugai!” katanya dalam nada berseloroh tetapi sarat dengan rasa kecewa.
Beliau tidak pernah menyimpan dendam, tetapi pesannya tetap jelas dan tegas untuk istiqamah pegang akidah perjuangan serta sama sekali tetap pendirian.
Pemimpin sederhana, berjiwa besar
Di peringkat organisasi, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis di bawah kepimpinan Ustazah Hamidah Abdullah, Ketua Muslimat PAS Negeri keenam.
Sikapnya yang bersahaja tetapi sentiasa bersemangat menjadikan beliau seorang pemimpin yang dihormati dan disenangi.
Hubungan akrabnya dengan tokoh Muslimat PAS Pusat seperti Dato’ Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff turut menggambarkan eratnya ukhuwah dan jaringan perjuangan wanita PAS yang merentas negeri dan generasi.
Kenangan mereka bermalam bersama di Markaz PAS Taman Melewar menjadi memori indah yang terpahat dalam hati para sahabat seperjuangan.
Sejak Jalan Raja Laut belum ada
“Zaman sekolah lagi dok ikut (sudah ikut dari zaman sekolah). Masa tu Jalan Raja Laut tak dak lagi,” kata beliau, mengenang zaman awal penglibatan dalam perjuangan Islam di ibu kota.
Ia membuktikan bahawa komitmen beliau terhadap PAS dan dakwah bukan hanya bersifat lokal, tetapi sudah lama melangkaui sempadan negeri.
Beliau tidak pernah menuntut apa-apa balasan, tetapi hanya mencari redha Allah dalam setiap langkah.
Kini, dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, beliau tetap menjadi rujukan dan sumber inspirasi kepada para Muslimat di seluruh Perlis.
Hidup sederhana, nilai besar
Ustazah Jemilah tidak pernah menonjolkan diri, hidupnya bersahaja dan tenang dan antara makanan kegemarannya ialah sayur rebung.
Di sebalik kehidupan sederhana itu tersembunyi nilai-nilai perjuangan besar yang tidak ternilai.
Bagi warga PAS Perlis, beliau bukan sekadar mantan pimpinan, tetapi adalah simbol wanita mujahidah, yang telah mengabdikan seluruh hidupnya kepada agama, jamaah dan masyarakat. – HARAKAHDAILY 31/5/2025











