HTM 1.0 bakar semangat pertahan kemenangan 32 DUN Terengganu PRU16

Himpunan Teguh Memimpin Terengganu

- Advertisement -

MINGGU ini Kemaman, Terengganu diteduhkan dengan ribuan bendera PAS, berkibaran megah di segenap tempat dan akses ke lokasi Himpunan Teguh Memimpin Terengganu 1.0 (HTM).

- Advertisement -

Tiada istilah kerja ‘tangkap muat’ bagi PAS Terengganu kerana PRU16 ini juga medan untuk menguburkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang gagal berfungsi sebagai kerajaan bertatakelola yang baik. Hutang negara melonjak, pelaburan asing (FDI) merosot, integrasi nasional semakin menjarak, juga kecacamarbaan polisi negara, dengan bahasa mudahnya kerajaan paling gagal semenjak merdeka!

Pelbagai acara telah berlangsung seperti bicara pimpinan, konvoi anak muda, santai kesenian, himpunan muslimah, kuliah khas serta ceramah perdana dengan menampilkan tokoh-tokoh hebat, antaranya Chegu Bard yang membongkar kebobrokan parti penguasa yang sedang melahap kekayaan negara.

Puluhan ribu bergerak ke HTM sejak 29 Mei dengan bervariasi acara melibatkan entiti parti dan juga masyarakat di saat Umno sedang ditolak rakyat serta dikhianati rakan-rakan sekutu.

Dalam sejarah modennya, Terengganu tidak asing daripada budaya berhimpun dan berprogram mega, hanya musim pandemik Covid-19 yang merehatkan segala bentuk himpunan dan pemain politik seperti diberkas untuk berpencak ligat. Namun bagi PAS Terengganu digantikan dengan kerja-kerja kebajikan membantu rakyat dalam kesusahan. Impaknya PRU15 dua tahun lepas, membolot 40-0, tidak bernesan parti keramat orang Melayu yang hilang radar navigasi.

Pimpinan PAS Terengganu meletakkan objektif himpunan kali ini untuk memugar semangat seluruh amilin dalam menggerakkan kerja-kerja berterusan yang seimbang di antara siasah, dakwah dan tarbiah.

Jangan ada yang terlena dalam ujian kuasa akibat kemenangan besar PRU 15, jangan wabak ghazwah Hunain melanda ahli-ahli PAS di seluruh negeri Tok Ku Paloh. Jangan diabaikan dalam membina tajnid serta pemerkasaan fikrah kepada seluruh rakyat terutama anak-anak muda.

Terengganu sentiasa menggebu dan menyala dengan program-program berskala mega semenjak dahulu lagi. Antara contoh himpunan mega, enam tahun lepas, kehadiran ke kuliah perdana seperti kehadiran Ustaz Dr Abdul Somad dari Indonesia mampu mencecah 100,000 khalayak.

Begitu juga kehadiran massa ke program FASTAQIM di Pantai Tok Jembal sebelum PRU14 telah menyaksikan kehadiran lebih 300,000 khalayak dengan kehadiran paling ramai ialah dari Terengganu sendiri.

Tahun lepas, Terengganu berjaya menghimpunkan lebih 40,000 pemilik RXZ serta peminat pemotoran dari seluruh negara. Bahkan pernah acara tayangan skrin besar pertandingan akhir Piala FA menyaksikan gelombang keseronokan rakyat, di setiap lokasi tayangan, ribuan rakyat Terengganu menonton dengan penuh debar. Semuanya membina feel good factor kepada kemampanan Kerajaan PAS Terengganu walaupun diasak oleh parti lawan dan Kerajaan Persekutuan.

Budaya mendepang telinga untuk mendengar ceramah bukan suatu yang pelik di negeri yang menjunjung syariat ini. Dalam dekad 1980-an, jika ceramah Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi boleh mencecah puluhan ribu khalayak, anak-anak muda peserta kebangkitan Islam seperti semut menghurung gula. Anak muda berlilit serban, sejauh Kemaman dan Besut akan membonceng motosikal ke lokasi ceramah Ayah Chik di Rusila atau Chendering.

Kehebatan Ayah Chik sebagai ulama muda saat  itu sehingga menghiasi muka depan majalah Asia Week. Masjid Rusila pernah menghimpunkan lebih 100,000 pendengar saat Ijtimak Alami berlangsung pada tahun 1988.

Dalam dekad 1990-an, antara program yang menghimpun 100,000 pendengar ialah forum perdana PAS Terengganu di Manir manakala euforia reformasi pasca pemecatan Anwar Ibrahim turut menyimbah kesan ke Terengganu. Forum Perdana pada tahun 1999 itu menampilkan Dr Hasan Ali, Dr Haron Din, Ustaz Ismail Kamus serta pimpinan utama PAS. Gelombang kebangkitan ummah itu juga membawa kesan hiliran politik iaitu PAS berjaya menawan Terengganu pada bulan November 1999.

Ceramah, kuliah, forum perdana, himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu. Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di Kampung Rusila, Medan Ilmu Jerteh dan lain-lain lokasi negeri itu. Pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang.

Negeri jantung hati Muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat selepas Kelantan. Dalam tiga pilihan raya umum, PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959, 1999 dan 2018, manakala dalam pilihan raya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah negeri Tok Ku Paloh ini.

Pastilah pendokong PAS Terengganu tidak mahu mitos Terengganu adalah kerajaan sepenggal dan sumpahan ini telah dimatikan pada 12 Ogos 2023, kini berusaha kekal untuk pencapaian menguburkan Umno serta PH di negeri ini dalam PRU16.

Dedikasi dan kerja keras perlu dilipatkali gandakan untuk memastikan impian ini digapai bahkan diluaskan ke negeri jiran, Pahang.

Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, di mana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi.

Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Umar Siam, Tok Ku Pulau Manis dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam pondok serta madrasah agama.

Inilah jawapan yang Tuan Guru Abdul Hadi sebutkan dalam ucapan perasmian Ijtima’, rasional Besut adalah kubu PAS dalam dekad 1950-an. Kekuatan jihad pendidikan adalah parallel dengan kejituan PAS sebagai harakatul ummah. Kita akan mulai melemah akibat kurangnya budaya ilmu dan juga politiking.

Negeri yang subur dengan jihad ta’lim ini turut disentuh sikap beragama rakyatnya oleh Munsyi Abdullah dalam kunjungannya pada abad ke 19 dahulu, juga menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang menanggalkan pelaksanaan Undang-Undang Islam.

Terengganu juga disorot oleh majalah Asia Week dalam dekad 1980-an sebagai negeri paling hangat pertarungan politik termasuk di luar musim pilihan raya.

Dengan latar belakang semaraknya pendidikan Islam melalui sekolah pondok dan sekolah agama rakyat di Terengganu inilah, maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam Pilihan Raya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr Burhanuddin al-Helmy, Hasan Adli, Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen. Budaya mendengar ceramah politik Islam adalah hiburan di negeri ini, begitu juga kuliah Maghrib perdana.

Orang Terengganu secara umumnya cinta kepada agama dan meletakkan PAS sebagai benteng mempertahankan agama dan bangsa Melayu. Kejayaan Kerajaan PAS Terengganu dalam tempoh tujuh tahun ini sangat membanggakan, berjaya merealisasikan 90 peratus manifesto PRU 14 sebagaimana janji kepada rakyat Terengganu.

Berbaki dua tahun lebih lagi bagi melunaskan janji-janji PRU15, walaupun dengan kekangan kewangan daripada Kerajaan Pusat, Terengganu terus mencari sumber baharu pendapatan termasuk menubuhkan syarikat minyaknya sendiri seperti Sarawak. Terengganu terus membolot anugerah-anugerah cemerlang dalam peperiksaan awam negara ini.

Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri telah memacu perkembangan ekonomi negeri dengan baik, juga PAS Terengganu yang dinakhodai oleh Dato’ Husain Awang telah melonjakkan dokongan kepada PAS, Terengganu sentiasa menyumbang keahlian teramai ahli PAS.

Pesaing PAS Terengganu ialah Kedah dan Kelantan, Insya-Allah Kompleks PAS Terengganu yang akan dibangunkan di Ajil akan membuktikan kesungguhan amilin PAS Terengganu untuk melihat PAS terus relevan kepada rakyat negeri ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 31/5/2025

- Advertisement -