
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya berhenti bermain politik bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada isu seperti penyasaran subsidi, kenaikan inflasi dan kenaikan harga tong gas.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, rakyat ketika ini dilihat semakin meluat dengan ‘drama’ politik kerajaan yang telah menjejaskan dan membebankan kehidupan seharian mereka.
Beliau mengulas demikian susulan perkembangan sedang berlaku dalam Kerajaan Pusat ketika ini yang menyaksikan dua Menteri meletakkan jawatan dan seorang Menteri bertukar parti.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz umum meletakkan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno, semalam.
Beliau juga turut mengesahkan sudah menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR yang juga komponen Kerajaan Pusat kepada Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
Sebelumnya, Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa pada 17 Jun selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Ia kemudian disusuli peletakan jawatan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkuat kuasa 4 Julai selepas turut tewas dalam pemilihan sebagai Naib Presiden PKR.
Syahir malah terdahulu membayangkan kemungkinan berlakunya perubahan jawatan Menteri Besar Selangor dan juga Menteri MITI ketika berucap pada Persidangan Khas Dewan Rakyat, 5 Mei lalu.
Desas-desus menyatakan, kemasukan Zafrul ke dalam PKR merupakan satu ‘Langkah’ yang belum diumumkan namanya, di mana akan disusuli satu peletakan jawatan seorang Ahli Dewan Negeri Selangor.
Tindakan seumpama ‘Langkah Kajang’ itu bagi membolehkan satu pilihan raya kecil untuk Zafrul bertanding, sebelum mengesa Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berundur dan digantikan Zafrul.
“Kita rakyat pastinya kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh kepimpinan Madani hari ini, dalam keadaan isu ekonomi yang sepatutnya menjadi fokus. Jadi menunjukkan mereka tidak serius menangani, menguruskan isu ekonomi.
“Apatah lagi melibatkan menteri dan kementerian yang bertanggungjawab dalam isu tarif Amerika Syarikat, isu subsidi, petrol dan diesel, kenaikan harga barang, inflasi, termasuklah rungutan peniaga yang berdepan dengan SST.
“E-Invoice dan terbarunya kenaikan harga tong gas kepada pekedai-pekedai yang pastinya akan menyebabkan kesan kepada kenaikan kos dan juga kenaikan harga barang kepada rakyat dan pengguna,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Tambah beliau, pemilihan PKR selaku parti yang mengetuai kerajaan di peringkat Pusat telah berlangsung lebih dua minggu menyaksikan ia menyebabkan banyak urusan kerajaan tergendala.
“(Ia kemudian) diteruskan dengan drama-drama politik yang tidak berkesudahan dan tidak mustahil rakyat sudah tidak sabar untuk menghukum mereka yang gagal dan tidak peduli dengan masalah negara dan juga masalah rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2025











