PM wajib pertahan maruah, bukannya mohon imuniti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Larut, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa maruah negara wajib dipelihara dan menjadi kewajipan setiap pemimpin untuk menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

- Advertisement -

Menurut beliau, dalam dunia tanpa sempadan hari ini, segala tindakan pemimpin akan diteliti masyarakat dunia dan sebarang salah guna kuasa akan memberi implikasi besar terhadap kepercayaan rakyat serta pelabur asing.

“Apatah lagi, apabila membabitkan Perdana Menteri, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang wajib dijunjung tinggi. Keadilan harus diberikan kepada semua.

“Tak kira apa pangkat dan kedudukan. Mereka yang berkuasa tidak boleh menyalahgunakan proses keadilan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Tambah Hamzah, sekiranya prinsip keadilan diselewengkan, ia boleh menyebabkan keruntuhan kepercayaan terhadap institusi kehakiman dan kepimpinan negara.

“Mahkamah adalah medan terbaik untuk sesiapa saja membersihkan diri mengikut lunas undang-undang. Ketidakadilan akan mencetuskan prasangka layanan dua darjat dan diskriminasi.

“Rakyat akan hilang kepercayaan, apatah lagi pelabur asing yang menganggap negara ini ditadbir oleh undang-undang rimba. Akibatnya, negara akan mengalami kerugian berpanjangan di masa depan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang turut menyentuh Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, di mana semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan.

“Sekiranya hak ini dinafikan, rakyat akan memberontak, sistem akan gagal. Terutamanya, apabila mereka yang berkuasa dilihat menyalahgunakan kuasa. ‘Abuse of power’.

“(Iaitu) dengan menjadikan kedudukan sebagai perisai besi untuk melindungi diri daripada dihakimi. Jawatan Perdana Menteri bukan kebal daripada undang-undang.

“Dalam kes terkini, Perdana Menteri wajib mempertahankan maruah dirinya. Sebagai seorang individu, apatah lagi, maruah institusi Perdana Menteri. Bukannya memohon imuniti daripada mahkamah.

“Jawatan Perdana Menteri adalah amanah dari Allah SWT yang akan dipertanggung jawabkan di dunia dan di akhirat nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2025

- Advertisement -