
KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz daripada Umno mendapat perhatian Pengarah Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff.
Beliau menyifatkan tindakan Menteri Industri, Perdagangan dan Pelaburan itu sebagai isyarat jelas kepada masa depan Umno yang semakin kelam.
Nurul Islam berkata tindakan Tengku Zafrul yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua Bahagian, dan ahli Umno menunjukkan hilangnya keyakinan terhadap hala tuju parti itu.
“Barangkali Tengku Zafrul sudah nampak masa depan Umno yang gelap, terutamanya dengan penolakan pengundi Melayu terhadap kerjasama Umno-DAP,” katanya.
Beliau turut mengulas kemungkinan Tengku Zafrul mahu menyertai PKR selepas penggal beliau sebagai Senator tamat hujung tahun ini, sekali gus menamatkan kedudukan beliau sebagai Menteri tanpa laluan Dewan Negara.
“Pilihan yang ada hanyalah bertanding dalam PRK Parlimen atau DUN, tetapi dalam keadaan Umno yang sangat lemah ketika ini, siapa yang sanggup korbankan kerusi untuk beliau?” soalnya
Nurul Islam turut menyentuh khabar angin bahawa PKR mungkin menawarkan kedudukan lebih tinggi, termasuk disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Amirudin Shari.
Dalam kenyataan itu, beliau juga mengkritik reaksi Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang meminta Tengku Zafrul meletakkan jawatan Menteri.
“Dr Akmal seolah-olah tidak faham bahawa pelantikan Tengku Zafrul adalah atas budi bicara Perdana Menteri, bukan kuota Umno. Dia dilantik sebagai Senator oleh PMX dan seterusnya ke kabinet,” tegas beliau.
Menurut Nurul Islam, Umno tidak sepatutnya menyalahkan mereka yang meninggalkan parti, sebaliknya perlu melihat kepada punca sebenar kegagalan, termasuk kepimpinan Zahid Hamidi.
“Kalau Dr Akmal mahu desak sesiapa letak jawatan, orang yang patut dia desak ialah Zahid Hamidi sendiri. Dia tahu, kita tahu. Soalnya, beranikah dia?”
“Umno perlu cermin diri, bukan marah orang yang pergi,” tegas Nurul Islam menutup kenyataannya. – HARAKAHDAILY 31/5/2025











