
KEMAMAN: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memohon imuniti daripada tindakan undang-undang sebagai sesuatu yang aneh dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Beliau berkata, permohonan imuniti atau kekebalan daripada proses undang-undang yang dibuat kepada mahkamah oleh Anwar untuk memperoleh kekebalan daripada tindakan sivil, tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
“Sepanjang umur sayalah, muda lagi… 50 tahun lebih. Dan saya check juga di dalam rekod-rekod yang ada baik ketika zaman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, zaman Tun (Abdul) Razak, zaman Tun Hussein Onn.
“(Termasuk) zaman Tun Mahathir, zaman Pak Lah, zaman Dato’ Sri Najib, Muhyiddin Yassin… tak pernah kita pernah dengar ada Perdana Menteri minta supaya dia ni dikecualikan, diberi kekebalan daripada tindakan undang-undang.
“Saya ingat isu imuniti kalau timbul pun pada satu ketika dahulu ketika krisis Perlembagaan berkaitan imuniti raja-raja. Malah pindaan Perlembagaan yang ada ketika itu pun dari segi imuniti raja-raja, tak ada istilah raja-raja terlindung, kebal daripada undang-undang.
“Sekiranya berkaitan dengan isu yang boleh dibawa mahkamah, ada prosesnya. Tiba-tiba PMX memohon mahkamah mempertimbangkan, supaya ada kekebalan. Ini adalah sesuatu yang pelik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ceramah perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 1.0 di Padang Astaka, Cukai, di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut membangkitkan sikap Perdana Menteri yang dilihat gemar menyaman orang, namun tidak bersedia apabila dirinya disaman.
“Lebih pelik lagi dalam proses beliau berhadapan dengan saman sivil. Dan Perdana Menteri kita ni pula, dia suka saman orang. Orang saman dia, tak boleh. Tapi dia saman orang, boleh.
“Sampai sesetengah kesnya macam kes sayalah. Kes saya dah selesai dah. Dia saman saya. Saman berkaitan dengan sembang dalam lima orang, enam orang, kedai kopi dekat Kampung… di Cabang Tiga, Terengganu.
“Yang bersembang bukan tokoh-tokoh dunia pun. Budak-budak. Itu Perdana Menteri saman, bawa ke mahkamah. Dan saya menyahut cabaran itu. Nak lawan, lawanlah sampai mahkamah.
“Sehingga di peringkat akhir, tiba-tiba terbalik kut… hantar peguam minta saya, selesai luar mahkamahlah. Takut untuk masuk dalam mahkamah,” jelasnya.
Beliau yang merupakan Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat berkata, tindakan Perdana Menteri yang dikatakan takut untuk ke mahkamah mungkin kerana bimbang soal-soal lama dibangkitkan semula.
“Dalam masa yang sama, selain daripada saman sivil berkaitan dengan Yusoff Rawther, ada beberapa lagi saman. Dia saman orang. Tapi saya difahamkan, dia saman orang, dia pun takut nak pergi mahkamah.
“Mungkin kerana takut apabila duduk di kandang saksi, banyak perkara-perkara yang sebelum ini, khususnya di kalangan orang muda, tak tahu. Apabila ditanya di dalam mahkamah, dibangkitkan balik isu-isu lalu.
“Yang orang muda zaman sekarang tak pernah, tak tahu. Takut timbul balik. Mungkin. Yang saya nak sebut di sini, apa yang dilaksanakan sekarang ni, memohon imuniti adalah sesuatu yang pelik. Sehingga menimbulkan persoalan besar.
“Apa yang takut sangat Perdana Menteri nak berdepan dengan saman sivil daripada seorang Yusoff Rawther ini? Itu terpulang kepada masing-masing untuk memikirkannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2025











