PM Anwar digesa hadapi bicara kes secara berani

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertindak memohon imuniti dalam isu membabitkan kes membabitkan beliau dengan bekas penyelidiknya, Muhammad Yusoff Rawther telah memberi pelbagai perspektif.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, antaranya Anwar dilihat seolah-olah takut untuk berhadapan pendakwaan serta menjawab persoalan, apatah lagi apabila beliau bertindak menukar peguam pihaknya.

“PAS Pulau Pinang secara umumnya mengambil serius serta sentiasa mengikuti perkembangan kes ini. Terutama selepas Perdana Menteri itu memohon untuk beliau diberikan imuniti daripada perbicaraan kes serangan seksual pada Mei lalu,” kata beliau pada kenyataannya.

Menurutnya lagi, pertuduhan kononnya Muhammad Yusoff Rawther memiliki dua pucuk pistol tiruan, termasuk 306 gram ganja jenis Canabis juga dilihat menjadi isu yang diada-adakan sebagai perangkap.

Sedangkan tegas Muhammad Fawwaz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Yusoff Rawther dibuktikan bercakap benar melalui ujian poligraf dijalankan terhadapnya selama empat jam.

“Ini membuktikan pendakwaan yang dilakukannya ke atas PMX itu, bukanlah pendakwaan yang sengaja untuk menjatuhkan reputasi politik pemimpin utama negara ini.

“PAS Pulau Pinang mengharapkan agar isu ini diberi perhatian sewajarnya dari sudut undang-undang dan prinsip keadilan. Malah, dibicarakan dengan telus, tanpa menafikan keadilan kepada mangsa yang mengfailkan saman sivil tersebut,”  tegasnya.

Mahkamah juga katanya, mestilah memberikan peluang kepada Muhammad Yusoff Rawther untuk mengemukakan bukti serta mendapatkan hak ke atas dirinya sebagai mangsa.

Sementara Dato’ Seri Anwar, sebaiknya tegas beliau, menarik balik tuntutan imuniti dan hadapi prosiding mahkamah serta menghormati proses perbicaraan dengan tidak memberi sebarang tekanan kepada institusi kehakiman.

“Sepatutnya sebagai pemimpin yang pernah melaungkan kalimah ‘reformasi’ dan ‘lawan tetap lawan’, yang menjadi nadi perjuangan partinya, kata-kata keramat itu, wajar diterjemahkan kepada pentadbirannya.

“Undang-undang gangguan seksual perlu direformasi dan dikuatkuasakan, dengan memberi peluang penubuhan Mahkamah Seksual Khas, iaitu pelindungan kepada mangsa dan saksi dari pemangsa terutama melibatkan individu yang berpengaruh,” tambahnya lagi.

Justeru, beliau menjangkakan, perbicaraan yang akan bermula pada 16 Jun ini pastinya akan menggemparkan negara.

Dalam pada itu, beliau berharap tiada individu yang boleh terlepas daripada mendapatkan keadilan, dan yang bersalah akan mendapat hukuman setimpal. – HARAKAHDAILY 31/5/2025

- Advertisement -